mercredi 27 mai 2015

15 Jun keputusan MIC saman ROS


KUALA LUMPUR 27 Mei - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini menetapkan 15 Jun ini keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan MIC terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengarahkan pemilihan semula parti itu.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan demikian setelah selesai mendengar hujahan peguam, R. Thayalan yang mewakili MIC selaku pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili ROS hari ini.

Pada Februari lalu, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan beberapa pemimpin parti itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu secara berasingan dengan permohonan pertama difailkan pada 23 Februari lalu oleh anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, A.K. Ramalingam, 47, yang menamakan ROS dan Ketua Pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah sebagai pihak responden.

Ramalingam memohon untuk membatalkan kenyataan responden menerusi surat bertarikh 5 Disember dan 31 Disember tahun lalu serta 6 Februari lalu dan memohon satu perisytiharan bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu adalah mala fide (berniat jahat) dan ultra vires (melampaui batasan undang-undang).

Permohonan kedua iaitu pada 24 Februari lalu pula telah difailkan Palanivel bersama-sama dua Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan serta bekas Setiausaha Agung, A. Prakash Rao dengan menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan responden kedua.

Antara permohonan yang difailkan Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan dan Prakash Rao adalah satu pengisytiharan bahawa perkara berkaitan pemilihan parti tertakluk kepada perlembagaan parti dan tidak boleh berasaskan pendapat ROS.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan mesyuarat agung tahunan MIC pada 30 November 2013, adalah sah dan berkuat kuasa selain perintah injunksi sementara untuk menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC atau mengeluarkan arahan kepada parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.

Terdahulu Thayalan berhujah, ROS tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan pemilihan semula parti berkenaan sejajar Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966 malah tiada sebarang kuasa diperuntukkan kepada agensi itu bagi menentukan cara parti tersebut menyelesaikan pertikaian dalamannya.

Walau bagaimanapun Amarjeet sebaliknya menegaskan bahawa parti berkenaan yang telah bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula bagi semua cawangan dan bahagian berdasarkan surat daripada Presiden parti bertarikh 6 Februari 2015.

Malah katanya, adalah suatu tuduhan yang menyusahkan dan sangat palsu apabila parti berkenaan menuduh ROS yang membuat keputusan bagi pemilihan semula itu.

Beliau juga menegaskan bahawa ROS tidak akan melayan sebarang aduan kosong terhadap isu pertikaian dalam parti itu tetapi ROS bertindak setelah menerima dokumen aduan daripada ahli-ahli MIC seterusnya mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengesahkan tuduhan itu.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire