KUALA LUMPUR - Tindakan Malaysia yang menghantar bantuan kemanusiaan kepada pendatang tanpa izin (Pati) terutama pelarian Rohingya yang cuba memasuki Malaysia secara haram, bukan bermakna Malaysia terlalu mudah menerima kemasukan mereka ke negara ini.
Ahli Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah berkata tindakan Malaysia itu lebih atas sifat kemanusiaan.
"Malaysia tidak sesekali menerima pelarian dan yang masuk ke negara ini secara haram. Bagaimanapun, atas sifat kemanusiaan, Malaysia sebagai pengerusi Asean melakukan rundingan dengan kerajaan Myanmar yang sebelum ini bertegas dan mengelak untuk menyelesaikan isu Rohingya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedatangan Pati Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar di Langkawi, Kedah yang diselamatkan pihak berkuasa baru-baru ini.
Dilaporkan, sejumlah 1,158 orang Pati Rohingya dan Bangladesh ditangkap selepas mendarat di sini pada 11 Mei lepas.
Kumpulan Pati ini kemudiannya dipindahkan secara berperingkat-peringkat ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.
Insiden pendaratan itu berlaku selepas negara jiran, Thailand memulakan usahanya untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemui lebih 30 mayat yang ditanam di bahagian selatan negara itu, awal bulan ini.
Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk memberikan perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang dipercayai masih berada di perairan antarabangsa, berdekatan.
Sementara itu, Pensyarah Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Emeritus Dr Ranjit Singh berkata, antara faktor utama menyebabkan etnik Rohingya dari Myanmar tertarik masuk ke Malaysia adalah disebabkan negara ini mempunyai kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang seimbang.
Katanya, ini kerana etnik Rohingya itu melihat negara ini menyediakan peluang pekerjaan dan kemudahan lain kepada mereka untuk menetap dan bekerja di sini.
"Namun demikian, ini tidak bermakna kerajaan kita tidak bertegas dengan mereka dan sewenang-wenangnya membenarkan serta menerima kemasukan mereka ke negara ini," katanya.
Mohd Kamarulnizam dan Ranjit ditemui pada majlis perasmian program Advokasi Ilmuwan MPN bersama Utusan Malaysia Berhad (UM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di pejabat UM di Jalan Chan Sow Lin, di sini, hari ini.
Program tersebut bertujuan memperjelaskan isu-isu semasa negara kepada masyarakat dan medium transfrormasi minda kepada masyarakat. - Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire