jeudi 28 mai 2015

Kemajuan pendidikan Sabah sentiasa diutamakan


Musa Aman

SANDAKAN - Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kemajuan sektor pendidikan sentiasa diberi keutamaan bukan sahaja untuk generasi hari ini malah untuk generasi akan datang, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, bahkan sektor pendidikan diletakkan sebagai antara teras utama dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan untuk mencapai taraf negara maju iaitu mengutamakan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan menambah baik kualiti pendidikan dan meningkatkan kecemerlangan dan pencapaian murid melalui peningkatan akses dan kualiti pembelajaran.

"Dalam tempoh RMK11 juga, kerajaan menyasarkan kadar penyertaan murid dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah mencapai 100 peratus enrolmen menjelang tahun 2020.

Justeru, transformasi pendidikan negara adalah berpaksikan pembangunan modal insan yang berilmu dan berakhlak bagi memacu pembangunan negara ke arah aktiviti bernilai dan berimpak tinggi yang menjadi tonggak pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Musa berkata tema 'Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak', perlulah dihayati dan diterjemahkan oleh warga guru bagi merealisasikan hasrat kerajaan dan harapan rakyat seterusnya menjayakan wawasan negara ini.

Katanya, kerajaan negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa komited untuk memperkasa dan memartabatkan agenda pendidikan di seluruh pelosok Sabah.

Menurutnya, untuk memacu kemajuan negeri seiring dengan arus perdana pembangunan nasional, lebih ramai tenaga profesional dan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran tinggi hasil daripada sistem pendidikan diperlukan.

Beliau berkata, seiring dengan pendekatan pembangunan secara holisitik, usaha bukan sahaja meningkatkan pembangunan secara fizikal, tetapi juga memperkasa agenda pendidikan terutama di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian sewajarnya dari segi kemudahan pembelajaran, prasarana sokongan dan tenaga pendidik yang terlatih.

Musa berkata, sesungguhnya tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tanggungjawab yang berat dan perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas, komited dan dedikasi. - Bernama


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire