SEORANG pengembala lembu duduk berehat di atas batu dalam keadaan cuaca panas terik di pinggir Hyderabad, India kelmarin.
NEW DELHI Peningkatan angka kematian kepada lebih 750 orang akibat gelombang haba di India menyebabkan amaran peringkat tertinggi dikeluarkan di dua buah negeri, Andhra Pradesh dan Telangana.
Para pegawai berkata, sejumlah 551 orang meninggal dunia di Andra Pradesh, manakala bakinya di Telangana dengan 125 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Kebanyakan daerah di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan suhu melebihi 46 darjah Celsius. Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), keadaan cuaca panas itu akan berterusan dalam beberapa hari lagi.
Pihak berkuasa di kedua-dua negeri menggesa orang ramai terutamanya buruh supaya tidak bekerja di kawasan terbuka antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.
Sebahagian besar mangsa adalah mereka yang sering terdedah kepada cahaya matahari. Kebanyakan mereka berusia 50 tahun ke atas, kata Pesuruhjaya Khas Jabatan Pengurusan Bencana Andhra Pradesh, P. Tulsi Rani kepada saluran berita NDTV.
Tambah Rani, pihaknya meminta supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan payung, memakai topi dan minum air dalam jumlah yang banyak di samping memakai pakaian yang diperbuat daripada kain kapas.
Sementara itu, pegawai IMD, Y.K. Reddy memberitahu bahawa sebahagian besar kawasan di Telangana mengalami suhu panas paling buruk dalam tempoh beberapa dekad sejak beberapa hari lalu.
Suhu tinggi bukanlah luar biasa tetapi berlarutan sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari. Ini amat membahayakan, kata Reddy.
Ujarnya lagi, tiupan angin barat laut yang kering dan panas adalah punca berlakunya gelombang panas yang diburukkan dengan keadaan langit tanpa awan. Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire