Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal. - Foto EPA
KATHMANDU - NEPAL . Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC) Nepal mengesahkan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (WFP) dan Pertubuhan Palang Merah Nepal (NRSC) membekalkan beras berkualiti rendah kepada mangsa gempa bumi di Nepal dan menggesa kerajaan Nepal mengambil tindakan sewajarnya terhadap pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.
"Semasa pemeriksaannya, NHRC mendapati beras yang diagihkan kepada mangsa gempa bumi di daerah Kavre berkualiti rendah dan tidak sesuai untuk kegunaan manusia," kata NHRC dalam kenyataan hari ini.
NHRC memeriksa makanan yang diagihkan oleh Pertubuhan Palang Merah Nepal, yang dibekalkan WFP, berikutan laporan bahawa kanak-kanak yang memakan nasi mengalami cirit-birit.
"NHRC mahu kerajaan menghukum institusi terbabit dalam pengagihan makanan berkualiti rendah yang memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan orang ramai," kata kenyataan itu.
WFP turut mengakui makanan yang dibekalnya tidak memenuhi standard.
"Sekurang-kurangnya 120 tan beras yang dibawa masuk untuk mangsa gempa bumi Nepal berkualiti rendah dan diganti serta-merta," kata WFP.
Beras tersebut diperoleh dari pembekal tempatan di Nepal dan India dan lebih 30 peratus didapati hancur semasa siasatan, kata Penyelaras Kecemasan WFP, Richard Regan kepada
sidang media.
Sebahagian mangsa gempa di Kavre mengadu beras yang diagihkan oleh agensi PBB tidak sesuai sehingga menyebabkan pihak berkuasa Nepal dan NHRC melakukan pemeriksaan dan memantau kualiti makanan yang diagih.
Sebanyak 39 daripada 75 daerah di Nepal terjejas oleh gempa bumi dan 11 daripadanya mengalami kerosakan yang dahsyat.
Gempa bumi berukuran 7.9 menggegar Nepal pada 25 April diikuti gempa susulan pada 12 Mei yang menyebabkan sekurang-kurangnya 8,600 orang terbunuh dan hampir setengah juta rumah dan bangunan awam musnah.
Menurut PBB, kira-kira 8 juta rakyat Nepal terjejas akibat gempa bumi dengan 1.4 juta memerlukan bantuan makanan. - Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire