jeudi 28 mai 2015

Matlamat PLKN tidak tersasar

KUALA LUMPUR - Kerajaan menafikan matlamat asal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memupuk semangat patriotisme akan tersasar apabila terdapat cadangan untuk menerapkan modul kemahiran teknikal dan vokasional kepada pelatih program itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, modul PLKN bersifat holistik apabila menggabungkan nilai cintakan negara dan modal insan yang memiliki kemahiran.

Menurutnya, cadangan tersebut juga telah mengambil kira keperluan semasa sebagai penambahbaikan kepada PLKN selepas 10 tahun diperkenalkan.

“Oleh sebab itu, kerajaan telah memikirkan keperluan wujudkan satu program untuk pelatih selepas tamat PLKN. Mereka yang berminat akan diserapkan untuk sertai program yang melibatkan aspek kemahiran dan nilai tambah dalam modal insan.

“Khususnya kepada belia yang tidak berkemampuan untuk menyambung pelajaran ke universiti dan mereka memerlukan karier.

Matlamat PLKN juga tidak sama dengan negara lain yang lebih kepada pertahanan negara kerana konsep kita lebih holistik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Dalam soalannya, Zainudin bertanyakan sama ada matlamat PLKN akan tersasar kerana telah menjurus kepada menyediakan latihan kemahiran.

Sebelum itu, menjawab soalan asal Zainudin, Abdul Rahim berkata, cadangan agar PLKN menerapkan elemen ‘soft skill’ dan ‘hard skill’ telah dicadangkan dalam Makmal Transformasi PLKN yang berlangsung pada 22 Februari hingga 27 Mac lalu.

“Pelatih akan diberi pendedahan dalam bidang kemahiran sewaktu dalam kem dan diberi pilihan meneruskan latihan ke institusi latihan kemahiran selepas tamat program.

“Sijil pengiktirafan akan dikeluarkan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara dan institusi latihan kemahiran yang berkaitan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kajian terperinci masih perlu diperhalusi dengan agensi terlibat sebelum cadangan tersebut diluluskan jemaah menteri.



sumber:http://ift.tt/1FF8aSV


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire