mardi 26 mai 2015

Tarikh baharu CEO, bekas CEO 1MDB beri keterangan kepada PAC


KUALA LUMPUR 26 Mei - Tarikh baharu sedang dimuktamadkan bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO, Datuk Shahrol Halmi hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memberi penjelasan berhubung kedudukan syarikat pembangunan strategik itu.

"Kami sekali lagi mengulangi hasrat kami untuk memberi kerjasama penuh kepada PAC serta Arul Kanda dan Datuk Shahrol Halmi berharap untuk hadir di hadapan jawatankuasa dan mempunyai peluang menjelaskan kedudukan 1MDB," menurut 1MDB dalam kenyataan hari ini.

1MDB menjelaskan bahawa ia hanya menerima surat daripada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, 2015, yang disertakan panggilan daripada PAC.

Panggilan itu, yang dialamatkan ke Kementerian Kewangan, meminta kehadiran syarikat tersebut di hadapan jawatankuasa itu pada 26 Mei.

Selepas menerima surat tersebut, 1MDB memberi maklum balas kepada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, hari yang sama syarikat itu menerima panggilan tersebut.

Seperti yang disahkan Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, tarikh baharu sedang dimuktamadkan berikutan tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen jadual di luar negara yang dibuat sebelum ini. - BERNAMA


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire