Nasrudin (kiri) sedang memberi penerangan dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para ahli Pas yang hadir dalam Program Dialog Isu Semasa malam tadi.
ROMPIN - Pas menafikan akan menyertai Himpunan Melayu Bersatu yang akan diadakan pada 16 September depan seperti yang tersebar di media sosial sekali gus menolak penglibatan parti Islam itu dalam penganjuran himpunan berkenaan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sehingga hari ini Pas tiada menerima sebarang jemputan untuk menyertai himpunan yang bakal diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu dan tidak timbul soal untuk menyertainya.
"Soal penyertaan Pas dalam himpunan itu tidak berbangkit dan tiada langsung dibincang dalam mesyuarat (AJK Pas Pusat)..lagi pun tuntutan yang mereka buat melalui himpunan itu tidak jelas.
"Kita (Pas) bukan pejuang perkauman dan kalau benar menuntut untuk bersatu, maka biarlah semua (Malaysia) bersatu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas selesai Program Dialog Isu Semasa yang diadakan di Markas Pas Cawangan Kampung Sepakat, di sini malam tadi yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut menegaskan jika terdapat bendera Pas dikibarkan dalam himpunan berkenaan maka ia bukan ahli parti atau kemungkinan tindakan provokasi daripada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Pas kini memberi fokus kepada penganjuran dua program besar iaitu Kongres Rakyat yang bakal diadakan di Shah Alam pada 12 September depan dan Himpunan Umum 60 Ribu yang bakal diadakan di Kota Bharu pada 17 Oktober depan.
"Himpunan Umum 60 Ribu itu dianjurkan sempena menyambut ulang tahun Pas Kelantan kali ke-60 dan juga sempena Sambutan Jubli Perak Kerajaan Negeri Kelantan," katanya.
Source: http://ift.tt/1JVb58Y
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire