jeudi 1 octobre 2015

KPM akan buat keputusan sama ada persekolahan perlu diganti

GEORGE TOWN - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memaklumkan keputusan mengenai sama ada sekolah yang ditutup akibat jerebu perlu menggantikan hari persekolahan mereka, kata Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

"Ada dua (perkara yang perlu dilihat), sama ada cuti atau sekolah diarah tutup. Kalau cuti, ia perlu diganti, kalau diarah tutup, persekolahan mungkin tidak perlu diganti.

"Bagaimanapun saya dimaklumkan menteri pendidikan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Robotik Kebangsaan 2015 di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak ditutup sebelum ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat. - Bernama


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire