mercredi 27 mai 2015

Ahli-ahli Parlimen dakwa tak tahu ada saman tertunggak



Ahli-ahli Parlimen DAP yang didedahkan memiliki sejumlah saman trafik yang belum dibayar mendakwa mereka tidak mengetahui telah menerima saman daripada pihak penguat kuasa.

Ketika dihubungi China Press, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun serta Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengakui mereka tidak tahu telah disaman.

Mereka pada masa yang sama bagaimanapun bersedia menjelaskan saman tertunggak masing-masing.

Teresa berkata, beliau mendapati dirinya telah menerima lima saman selepas melakukan pemeriksaan di Internet dan kesemuanya membabitkan kesalahan meletak kenderaan.

"Kemudahan pengangkutan awam di Kuala Lumpur tidak sempurna, jadi kadang-kala meletak kenderaan secara sembarangan ketika mengejar masa.

"Saya percaya masalah ini juga dihadapi oleh rakyat secara umumnya," katanya sambil 'membela diri'.

Kui Lun pula mendakwa daripada lima saman yang didaftar di bawah namanya, dua daripadanya adalah untuk kesalahan yang sama sementara satu lagi bukan melibatkan kereta miliknya.

Tony pula berkata, walaupun memandu sendiri, tetapi beliau tidak pernah mendapati diri pernah disaman.

"Saya akan melakukan semakan dan jika betul-betul ada saman, saya akan menjelaskannya," katanya.

Isu saman timbul apabila Ahli Parlimen Segambut mengkritik Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana belum menjelaskan dua saman Sistem Penguatkuasaan Elektronik (AES).

Keadaan itu bagaimanapun mengundang 'serangan balas' Bendahari Pemuda MCA Lee Beng Seng yang mendedahkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham sahaja mempunyai 76 saman yang belum dijelaskan.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai pula mempunyai 70 saman, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming (12), Tony (16), Kui Lun (lima),Teresa Kok (tiga) dan Seng Giaw (tiga).


http://ift.tt/1AyYJW2


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire