mercredi 27 mai 2015

Malaysia negara ke-14 paling berdaya saing


Mustapa

MALAYSIA menduduki tangga ke-14 daripada 61 negara dalam senarai negara paling berdaya saing menerusi Laporan Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) oleh Institut Pembangunan Pengurusan berpusat di Switzerland.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan itu menunjukkan Malaysia mengatasi negara seperti Australia (kedudukan ke-18), United Kingdom (19), Jepun (27), Korea Selatan (25) dan Finland (20).

Menurutnya, sungguhpun tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke-12 dan kini jatuh dua anak tangga, namun masih tersenarai dalam kedudukan 15 negara paling kompetitif.

"Ia menunjukkan Malaysia mempunyai daya tahan dan daya saing ekonomi.

"Malaysia meneruskan pembaharuan fiskal, inisiatif untuk mengawal kos sara hidup yang meningkat, kepelbagaian ekonomi, peningkatan kemahiran keupayaan dan kepakaran, kajian semula sistem pendidikan, pembaharuan dan memodenkan sistem cukai melalui cukai barang dan perkhidmatan akan membolehkan Malaysia terus berdaya saing di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, WCY turut menyenaraikan Malaysia sebagai negara di kedudukan pertama dalam kalangan 30 negara dalam kategori Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kurang daripada AS$20,000 (RM72,744).

"Pencapaian ini adalah keberkesanan dasar dan proses yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

"Malaysia memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, menggalakkan inovasi dan memudahkan kemudahan menjalankan perniagaan. Ini faktor yang boleh membantu mengekalkan prestasi ekonomi Malaysia dalam aspirasi kami untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Mustapa berkata, WCY menyatakan kecekapan Perniagaan adalah faktor penentu penting dalam meningkatkan daya saing.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire