mardi 26 mai 2015

Geng samun kereta mewah kena tangkap



Muhammad Azlee (kiri) menunjukkan antara kenderaan yang dirampas.
< 1 / 1 >
KUALA LUMPUR - Satu sindiket curi kenderaan yang dikenali sebagai Geng Ah Fung lumpuh selepas polis menahan tiga lelaki tempatan dan berjaya merampas enam kenderaan mewah membabitkan nilai kira-kira RM2.8 juta. ‎

Hasil maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields, pada 18 Mei lalu, dua lelaki berusia 25 dan 31 tahun berjaya ditahan di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Honda Civic.

Menurutnya, susulan penahanan dua lelaki tersebut, pihaknya berjaya merampas dua buah lagi kenderaan jenis Lexus Harriers dan Nissan GTR yang disimpan di Plaza Hartamas.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 48 tahun dipercayai bertindak sebagai pembeli sebelum merampas tiga buah lagi kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Toyota Estima, yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Siasatan mendapati kenderaan yang dirampas dikesan menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu,” katanya kepada media, semalam.

Muhammad Azlee berkata, selain itu, dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu turut didapati memiliki beberapa rekod kes jenayah lampau, selain masing-masing mempunyai rekod dikehendaki.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk memburu saki-baki kumpulan berkenaan.

“Tiga individu berkenaan direman tujuh hari bermula 19 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.


sumber:http://ift.tt/1LF9fLP


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire