P. Kamalanathan dan Pengarah Pendidikan Kuala Lumpur,Foziah Buang (dua dari kiri) bersama Yaacob Wan Ibrahim (kanan) dan Roslan Madon dalama majlis sambutan Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen HGH,Sentul, Kuala Lumpur, semalam. utusan/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR 28 Mei – Warga pendidik di seluruh negara diseru agar tidak ketinggalan dalam penggunaan teknologi canggih terutama ketika membuat persiapan sebelum memulakan pengajaran di kelas.
Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, sudah sampai masanya guru-guru mengajar menggunakan kemudahan teknologi yang ada pada masa kini agar sistem pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
“Bagi saya, masanya sudah sampai untuk guru-guru memahami keadaan semasa. Apa yang saya harapkan adalah mereka perlu sentiasa terkini dengan prestasi, teknologi dan dengan apa yang berlaku di sekeliling.
“Kita tidak boleh pandang ringan soal ini kerana ia membabitkan soal persiapan. Ada juga anak murid yang komited membuat persiapan yang lebih daripada guru sebelum ke sekolah dan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Kamalanathan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan yang bertemakan Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak di sini hari ini.
Turut diadakan ialah persembahan serta penyampaian anugerah seperti Ikon Guru, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya serta Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Kemuncak bagi majlis berkenaan adalah penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan yang diberikan kepada Datuk Yaacob Wan Ibrahim manakala Anugerah Tokoh Guru kepada Datuk Roslan Madon.
Dalam pada itu, Kamalanathan berpendapat, cendekiawan yang berjaya dalam bidang ilmu tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya akhlak mereka tidak terjaga.
“Akhlak ini datang dari dalam, jika tidak terjaga, ia akan menghampakan orang terdekat iaitu keluarga kita. Ia merupakan cerminan asal usul kita,
“Akhlak tidak boleh dipelajari dari segi membaca sahaja, tetapi cara guru mengajar. Berdamping dengan pelajar dapat membantu membentuk akhlak mereka selain peranan utama dimainkan oleh ibu bapa,” katanya.
Kira-kira 1,000 guru seluruh Wilayah Persekutuan hadir dalam majlis tersebut.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire