mardi 26 mai 2015

Lelaki paksa budak mengemis direman seminggu


KOTA BHARU 26 Mei – Seorang lelaki gelandangan direman seminggu bagi membantu siasatan kes culik kanak-kanak berusia tujuh tahun di Masjid Muhammadi, di sini Jumaat lalu sebelum memaksa mangsa mengemis di kompleks beli-belah KB Mall.

Perintah reman sehingga 1 Jun ini terhadap lelaki berusia 22 tahun itu dikeluarkan hari ini oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Rozita Md. Saad mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Kelmarin, Aiman Kamarolzaman, 7, dilaporkan hilang ketika solat Isyak di Masjid Muhammadi bersama bapanya dan nyaris menjadi mangsa sindiket mengemis.

Selepas dilaporkan hilang kira-kira pukul 9 malam, Aiman ditemui orang ramai sedang meminta sedekah di pekarangan kompleks beli-belah KB Mall pada pukul 7.30 malam, Sabtu lalu.

Sementara itu, keluarga Aiman merancang untuk menunjukkan gambar suspek yang disyaki menculik dan memaksa kanak-kanak tersebut menjadi pengemis kepadanya hari ini untuk pengecaman.

Bapa mangsa, Kamarolzaman Mohamad, 51, berkata, mereka sekeluarga membuat keputusan tersebut selepas yakin anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu sudah kuat semangat untuk mengecam suspek yang melarikannya.

“Kalau melihat perkembangan dia selepas pulang dari sekolah dan pagi ini, saya percaya perasaan trauma kena culik dan dipaksa menjadi pengemis itu sudah beransur-ansur hilang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Kamarolzaman, anaknya itu semakin ceria terutama selepas bertemu rakan-rakan sekelasnya walaupun masih perlu menghantar kanak-kanak itu hingga ke pintu pagar sekolah.

“Semalam dia masih berada dalam keadaan ketakutan sehingga saya perlu menghantarnya ke dalam kelas walaupun jarak antara sekolah dan rumah hanya lebih kurang 50 meter sahaja.

“Pagi ini, dia tidak lagi berat hati untuk ke sekolah cuma saya masih menghantarnya hingga depan pintu pagar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, pihaknya masih belum dapat mengaitkan suspek berkenaan dengan mana-mana sindiket peminta sedekah di negeri ini.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire