mardi 26 mai 2015

Kesatuan akur, Khazanah patuhi CA




KUALA LUMPUR 26 Mei – Pemilik Malaysia Airlines (MAS), Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), dijangka membayar penuh nilai pampasan kepada 6,000 kakitangan syarikat penerbangan itu yang bakal diberhentikan mengikut kandungan perjanjian bersama (CA) ditandatangani antara syarikat dengan kesatuan pekerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS (MASEU), Ab. Malek Ariff berkata, keputusan itu diperoleh selepas perbincangan yang diadakan antara pihaknya dengan Khazanah selama sejam yang turut disertai oleh Pentadbir MAS, Datuk Mohammad Faiz Azmi yang baharu dilantik berkuat kuasa semalam.

Katanya, hasil perbincangan yang diadakan hari ini memberi keyakinan kepada MASEU bahawa kakitangan yang diberhentikan bakal mendapat pampasan penuh, sekaligus menghentikan spekulasi daripada pelbagai laporan akhbar yang mendakwa nilai pampasan mungkin berkurangan.

“Berbanding dengan perbincangan-perbincangan yang diadakan sebelum ini, kali ini Khazanah dilihat lebih positif dan sedia memenuhi kehendak kakitangan MAS agar sebarang keputusan mengikut CA,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut laporan akhbar semalam, nasib semua kakitangan MAS bakal ditentukan dalam minggu ini. Kesemua 20,000 kakitangan syarikat penerbangan itu akan diberi surat pemberitahuan sama ada mereka akan menyertai syarikat baharu, Malaysia Airlines Bhd. (MAB), atau diberhentikan kerja pada Rabu ini.

Pada masa sama Ab. Malek berkata, beliau percaya pendekatan positif yang diambil Khazanah mungkin atas pertimbangan untuk tidak mahu mewujudkan situasi dan persepsi buruk terhadap isu berkaitan pemberhentian pekerja MAS.

Bagaimanapun katanya, formula pengiraan pampasan tersebut masih belum ditentukan sepenuhnya kerana ia akan membabitkan tempoh tahun perkhidmatan setiap kakitangan MAS.

Pentadbir yang diumumkan oleh Khazanah semalam bertujuan memudahkan pemindahan aset dan liabiliti terpilih daripada MAS kepada syarikat baharu, MAB menjelang 1 September 2015.

MAS akan terus beroperasi sehingga 31 Ogos 2015 termasuk pada hari tersebut, seterusnya MAB akan mengambil alih dan mengendalikan operasi syarikat penerbangan tersebut pada 1 September 2015.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire