Norshida IBRAHIM (empat dari kanan) mersamikan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di Pekarangan Pusat Timbang PPK Batu Anam, Segamat, kelmarin.
SEGAMAT 26 Mei – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) boleh memainkan peranan membantu kerajaan membanteras penglibatan ‘orang tengah’ sejajar dengan transformasi peladang di negeri ini yang mahu meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut menjelang tahun 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, PPK harus bergiat aktif di peringkat kawasan dengan mengenal pasti ‘orang tengah’ terlibat dan bersama-sama mencari mekanisme membanteras penglibatan mereka.
“Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga berusaha membanteras ‘orang tengah’ untuk meningkatkan pendapatan golongan terlibat dalam sektor pertanian.
“PPK bersama Jabatan Pertanian harus menggunakan pendekatan bersepadu mencapai matlamat kerajaan meluaskan perniagaan perladangan, sekali gus melahirkan peladang maju di negeri ini,” katanya semasa merasmikan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di Pekarangan Pusat Timbang PPK Batu Anam, di sini semalam.
Menurutnya, PPK dan Jabatan Pertanian yang mempunyai matlamat dan kumpulan sasaran sama terlibat secara langsung dalam menyahut seruan kerajaan itu dengan menyasarkan pendapatan bulanan petani dan peladang tidak kurang daripada RM2,500 sebulan menjelang tahun 2020.
Norshida berkata, banyak manfaat yang boleh diperoleh sekiranya petani menyertai pertubuhan peladang seperti menerima bantuan modal, pinjaman serta latihan bagi memajukan diri termasuk dividen oleh PPK pada setiap tahun.
Justeru, beliau menyeru golongan peladang baharu supaya merebut peluang untuk menceburi bidang pertanian yang mempunyai potensi tinggi, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan lebih lumayan.
“Oleh itu, PPK perlu mengambil inisiatif menarik lebih ramai keahlian dalam kalangan anak muda kerana berdasarkan pemerhatian saya, kira-kira 60 peratus ahli pertubuhan ini terdiri daripada warga emas berusia 60 hingga 70 tahun,” katanya.
"Golongan muda dan belia perlu dibimbing dari sekarang sebagai pemimpin peladang pelapis untuk menggerakkan jentera PPK supaya lebih berdaya saing pada masa depan untuk membantu memajukan sektor pertanian dan makanan negara," katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire