Khairiah Mohd Shariff
KUANTAN - Jabatan Perhilitan Pahang mengambil tindakan 'tembak halau' terhadap gajah liar yang merosakkan kebun penduduk di Kampung Kuala Kenau di sini.
Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, gajah tersebut dihalau ke habitat asalnya di Hutan Reman Chereh selepas mendapat aduan daripada penduduk kampung.
Menurutnya, memandangkan kawasan kebun terletak bersebelahan dengan habitat gajah, haiwan itu lebih cenderung datang mencari makanan.
"Disebabkan habitat gajah itu berdekatan hutan ,pihak jabatan mengambil keputusan menembak halau gajah itu ke habitat asalnya semula yang masih luas.
"Mungkin disebabkan oleh kekurangan makanan di habitat asal, gajah tersebut menceroboh ke kawasan kebun penduduk yang kebetulan bersebelahan dengan habitat asalnya.
"Bagaimanapun, jika keadaan tidak terkawal, pihak jabatan akan mengambil keputusan menangkap mamalia itu untuk dipindahkan ke tempat lain," katanya.
Khairiah berkata, hanya terdapat seekor gajah sahaja yang berkeliaran di kawasan hutan tersebut dan menyangkal dakwaan penduduk yang mengatakan terdapat lebih daripada seekor gajah menceroboh masuk ke situ.
"Disebabkan lokasi kebun yang berdekatan dengan hutan, pekebun dinasihatkan mengambil inisiatif sendiri membina parit ataupun pagar bagi menghalang kemasukan gajah ke tempat mereka.
"Bagaimanapun, penduduk ataupun pekebun dilarang sama sekali mengambil tindakan sendiri tanpa bantuan daripada pegawai Perhilitan untuk menghalau gajah tersebut," katanya.
Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pekebun Sharif Ibrahim, 75, mengalami kerugian hampir RM3,000 selepas kebun miliknya diceroboh mamalia tersebut yang merosakkan sebahagian daripada hasil kebun untuk dijual kepada peraih.
Sharif yang sudah lima tahun berturut-turut dibelenggu masalah tersebut berharap agar Jabatan Perhilitan menangkap gajah itu untuk dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat bagi habitat sang belalai tersebut.
Source: http://ift.tt/1POUto4
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire