jeudi 3 septembre 2015

Operasi henti jual kerang belum dikuatkuasakan



KOTA BHARU - Jabatan Perikanan negeri belum menguatkuasakan lagi sebarang operasi menghentikan jualan spesies kerang di Tumpat berikutan kajian Stesen Penyelidikan Universiti Malaya di Bachok yang mendapati air sungai di Geting beracun.

Pengarahnya, Mohd Zain Saad berkata, operasi akan dilakukan selepas memperoleh hasil kajian terhadap sampel yang dihantar ke tiga makmal kelmarin.

“Kita jangka hasil kajian akan diperoleh dalam tempoh seminggu lagi,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, pihaknya telah mengingatkan penduduk supaya tidak makan kerang atau tiram dari kawasan yang dikhuatiri beracun itu.

Sementara itu mengulas isu sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kelantan, Hamzah Muhamad berkata, beliau telah mengarahkan kakitangannya untuk mengambil sampel air di kawasan berkenaan.

Katanya, sampel itu kemudian akan dihantar ke jabatan kimia untuk tindakan selanjutnya.

Tindakan tersebut dilakukan berikutan amaran dikeluarkan Jabatan Perikanan berdasarkan hasil kajian sebuah universiti mendapati air di Sungai Geting mengandungi Plankton Alexandrium SP.

Susulan itu, Jabatan Perikanan juga melarang aktiviti memungut, menjual, memakan tiram dan kerang di kawasan tersebut kerana boleh mengakibatkan keracunan serta kematian.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire