dimanche 6 septembre 2015

Pandu kereta curi lawan arus


Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut selepas mendapati ia sebuah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di sini, tahun lalu.

KUANTAN - Dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai kenderaan curi bertindak melarikan diri dengan memandu secara melawan arus bagi mengelak ditahan polis selepas dikejar di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Indera Mahkota 3, awal pagi kelmarin.

Cubaan dua suspek itu berjaya dihalang ketika memasuki kawasan Kampung Tiram di sini bagaimanapun sempat meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan jenis Perodua Kembara itu di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jaya Gading yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah ternampak kenderaan dinaiki suspek tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota terlibat mendekati kenderaan itu untuk tujuan pemeriksaan bagaimanapun suspek terus memecut kereta melarikan diri ke arah Kampung Tiram sejurus menyedari kehadiran polis.

"Tindakan dua lelaki itu terus melarikan diri walaupun diarahkan berhenti menimbulkan kecurigaan polis lalu mereka dikejar hingga ke kawasan kampung Tiram.

"Suspek g dipercayai berusia 20-an bertindak nekad memandu laju sambil melawan arus sebelum kenderaan mereka berjaya dihalang," katanya.

Abdul Aziz berkata, menyedari mereka berjaya dihalang polis, suspek terus keluar dengan meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dinaiki suspek mendapati nombor casisnya dirosakkan namun berdasarkan semakan nombor pendaftaran digunakan mendapati kereta tersebut dilaporkan hilang di bandar ini tahun lalu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu gagal menemui sebarang objek mencurigakan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.



Source: http://ift.tt/1KzAH1M


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire