JAKARTA 6 Sept. – Rakyat asing yang bekerja di Jawa Timur akan diwajibkan menguasai bahasa Indonesia dan bertutur dalam bahasa itu dengan rakyat tempatan apabila peraturan mengenai perkara itu dikuatkuasakan tidak lama lagi.
Gabenor Jawa Timur, Dr. H. Soekarwo berkata, peraturan baharu itu dirangka bagi memastikan pekerja asing di wilayah tersebut menguasai bahasa Indonesia sepenuhnya sebelum bekerja bagi memudahkan segala urusan.
“Aturannya masih dirangka, yang jelas pekerja asing harus menguasai bahasa Indonesia kalau ingin bekerja di Jatim (Jawa Timur),” katanya seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.
Bagaimanapun, peraturan yang akan diperkenalkan oleh Soekarwo itu bertentangan dengan keputusan Kementerian Tenaga Kerja yang tidak mensyaratkan penguasaan bahasa Indonesia bagi pekerja asing di negara itu.
Sambil menafikan peraturan baharu itu bertentangan dengan keputusan kementerian tersebut, Soekarwo menegaskan, ia adalah di bawah bidang kuasa pentadbiran wilayah dan tidak bercanggah dengan kerajaan Pusat.
“Bukan bertentangan, tetapi menggunakan peraturan autonomi daerah,” katanya.
Jawa Timur adalah antara enam wilayah di Pulau Jawa yang mempunyai kira-kira 38 juta penduduk dengan Surabaya menjadi ibu kotanya. Wilayahnya juga meliputi Pulau Madura, Pulau Bawean dan Pulau Kangean.
Menurut laporan kerajaan tempatan wilayah itu, setakat Ogos 2015, terdapat sebanyak 14,000 tenaga kerja asing di Jawa Timur dan kebanyakan mereka bekerja dalam industri teknologi maklumat dan pembinaan dengan memegang jawatan penting seperti pengurus dan pengarah syarikat.
Kebanyakan pekerja asing itu adalah dari negara China, Taiwan, Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat. – UTUSAN
Source: http://ift.tt/1UvsIYe
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire