jeudi 28 août 2014

Ditumbuk, dihumban ke dalam kolam yang dilarang memancing

Kuala Lumpur: Ditumbuk, ditendang, dihumban masuk ke dalam kolam dan dibelasah sehingga lembik, itu nasib malang menimpa seorang lelaki yang sedang memancing di sebuah kolam di Taman Layang-Layang Kepong, di sini, kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 30-an yang sedang memancing didatangi tiga anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dimarahi kerana memancing di kolam itu tanpa kebenaran.



Menurut sumber, mangsa kemudian meminta maaf namun tidak dipedulikan sebaliknya tiga anggota itu terus bertindak menumbuk dan menendang mangsa.



“Tidak cukup dengan itu mereka juga tergamak menghumban mangsa ke dalam kolam menyebabkan dia hampir lemas dan sebaik naik ke darat, mangsa sekali lagi dibelasah,” katanya.



Sumber berkata, selepas puas membelasah mangsa, ketiga-tiga anggota penguat kuasa itu terus beredar dan tidak mempedulikan lelaki terbabit yang terbaring di tepi kolam itu.



“Trauma dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.







http://ift.tt/VAiOrN




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire