MELAKA - Hanya sempat merasai gaji bulan pertama hasil bekerja di sebuah syarikat swasta sebelum dia ditimpa kemalangan jalan raya sehingga cedera parah dan hilang upaya.
Itulah nasib dihadapi seorang pemuda, Abdul Rahman Rahim, 24, dari Kampung Alai di sini, apabila terpaksa menjalani kehidupan tanpa sebahagian tempurung kepala sementara menunggu darah beku di kepalanya pulih.
Menurut ibu mangsa, Afrizah Yahya, 47, anak sulung daripada lima beradik itu kemalangan ketika dalam perjalanan pulang menunggang motosikal dari tempat kerja di Telok Panglima Garang, Selangor.
Kemalangan itu berlaku ketika Ramadan pada 17 Julai. Namun, kami pun tidak dapat mengetahui bagaimana ia berlaku kerana ingatan Abdul Rahman masih terganggu berikutan kemalangan itu.
Sehingga kini pun, kami belum buat laporan polis kerana sebaik kemalangan, dia dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selama dua minggu dan selepas itu terus dibawa balik ke sini, katanya.
Sementara itu, bapanya mangsa, Rahim Abdul Rashid, 53, berkata, Abdul Rahman adalah anak harapannya bagi mengubah ekonomi serta nasib keluarga.
Dia yang bekerja sebagai buruh kampung berkata, gaji pertama anaknya itu sempat dirasai bagi membeli segala keperluan hari raya termasuk pakaiannya serta anak-anak lain.
Kemalangan menimpanya benar-benar menghancurkan hati saya namun apa boleh buat, itu takdir, katanya.
Dalam pada itu, Adun Telok Emas, Datuk Latiff Tamby Chik yang mengunjungi rumah mangsa berkata, sebagai langkah awal Pemuda Umno Kota Melaka sudahpun mengusahakan bantuan bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan ia sudah diluluskan.
Kita sedang mendapatkan kerjasama Perkeso bagi mengaturkan bantuan sepatutnya memandangkan pemuda berkenaan adalah pencarum. Pihak Pegawai Daerah Melaka Tengah juga sudah berjanji membantu membuat pendawaian semula elektrik di rumahnya memandangkan pendawaian sedia ada sudah agak lama, katanya.
Bagi Pengarah Perkeso, V. Mohanadas, pihaknya tiada masalah untuk mengaturkan bantuan seperti elaun cuti sakit, faedah hilang upaya kekal serta peralatan perubatan.
Kami melihat beliau memang layak kerana kemalangan itu berlaku sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Kini Perkeso hanya menunggu laporan polis mengenai kemalangan itu sebelum diproses, katanya.
Selain Latiff dan Mohanadas, turut serta dalam kunjungan itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Pemuda Kota Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman.
http://ift.tt/1qg4UD3
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire