dimanche 30 novembre 2014

Travelog Kembara Ilmu



ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah (Muhammad), "Jelajahilah Bumi, kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu" (Al-An'am 6:11).



Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa umat Islam itu adalah digalakkan untuk bermusafir atau mengembara dengan satu niat iaitu menambahkan keimanan kepada ALLAH SWT.



Justeru, sebagai stesen televisyen Islam pertama di negara ini, TV AlHijrah membawakan sebuah dokumentari travelog, Kembara Ilmu pada setiap Khamis mulai 27 November lalu, jam 9 malam.



Lebih menarik, dokumentari travelog 13 episod ini mengisahkan perjalanan dan percutian Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki di Kota Paris dan Amsterdam.



Istimewanya, dalam percutian ini, Ustazah Isfadiah tidak keseorangan sebaliknya turut ditemani suaminya, Ustaz Muhidin Mokter dan anak-anaknya yang seramai enam orang itu dalam lingkungan usia lima ke 18 tahun.



Selain itu, Kembara Ilmu turut menampilkan selebriti jemputan, Prof Dr Muhaya Mohamad dan aktres, Diana Amir dan suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman dan ditaja Modest Culture serta As Sohwah.



Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, Kakigosip menemui penerbit Kembara Ilmu, Ahmad Safuan Abd Rashid menerusi satu sidang media yang disusun, baru-baru ini.



Ceritakan lebih lanjut mengenai travelog Kembara Ilmu...



Ia adalah sebuah dokumentari travelog santai mengisahkan perjalanan dan percutian keluarga Ustazah Isfadiah yang penuh ilmiah di Kota Paris dan Amsterdam.



Untuk makluman, dua lokasi ini adalah kota yang paling romantis dan ramai dikunjungi pelancong dari seluruh dunia. Warisan budaya yang berpadu dengan kemegahan seni bina bukan saja menjadikannya sebagai kota yang paling indah di dunia malah mampu menambat hati sesiapa jua. Sambil mengunjungi tempat menarik, pelbagai tip turut diselitkan selari dengan tajuk yang dibawakan, Fiqh Musafir.





Mengapa memilih percutian keluarga Ustazah Isfadiah?



Asalnya, ini adalah percutian mereka sekeluarga. Ustazah Isfadiah ada berjumpa dengan saya dan memberitahu, mereka sekeluarga akan bercuti ke dua lokasi berkenaan. Daripada situ, saya mengambil masa dalam tempoh tiga minggu untuk mencari idea segar dan baharu.



Pada mulanya, saya ingin merakamkan percutian keluarga Ustazah Isfadiah ini menerusi salah satu slot dalam rancangan Fiqh Wanita. Tetapi, saya merasakan program ini boleh diperluas dan diteruskan lagi serta ada kekuatannya tersendiri. Oleh sebab itu, lahirlah siri 13 episod travelog Kembara Ilmu. Pada peringkat permulaan ini, kami mulakan cerita Fiqh Musafir yang lebih kepada pengenalan musafir dalam Islam.





Istimewa tajuk Fiqh Musafir itu sendiri?



Kebiasaannya, perbincangan mengenai fiqah dilakukan dalam keadaan formal dan membosankan. Oleh sebab itu, kami sangat mementingkan tahap kandungan program ini. Kami dan Ustazah Isfadiah akan memastikan pengajaran fiqah ini boleh dilihat dari sudut pengalaman sendiri.



Pada masa sama, ini bukanlah percutian kosong sebaliknya pelbagai perkara dapat dikongsi dengan masyarakat tentang ilmu-ilmu yang di bincang dengan anak-anak.





Ada sasaran tertentu?



Demi menarik perhatian penonton, kami mengambil pendekatan yang cukup santai dan bersahaja, ditambah pula dengan penyampaian yang 'catchy'.



Fokus utama kami adalah remaja terutamanya wanita. Selain itu, kami juga berfokus kepada wanita berkeluarga dan berkerjaya kerana ada di antaranya selalu menimbulkan pelbagai persoalan seperti bagaimana hendak bersolat ketika dalam penerbangan, cara mencari arah kiblat, peralatan yang perlu dibawa ketika bermusafir dan cara Muslimah bermusafir.



Ia bukan saja bersifat teori tetapi lebih kepada praktikal agar penonton mudah faham. Istimewa dalam Kembara Ilmu, pendekatan yang digunakan untuk menarik perhatian penonton terutamanya ibu bapa adalah percutian yang bermanfaat dan pendedahan tentang Fiqh Musafir iaitu hukum musafir bagi wanita dan adab bersama keluarga ketika bermusafir.







Pengalaman menarik sepanjang melakukan penggambaran di Kota Paris dan Amsterdam?



Semasa penggambaran di sana, kami melihat keakraban penduduk di sana dalam menjalani kehidupan seharian dan itu adalah merupakan pengalaman manis yang masih segar di minda setiap orang yang terlibat dalam menjayakan Kembara Ilmu.



Selain memberikan ilmu-ilmu baharu kepada penonton, paparan mengenai sesuatu tempat yang diterokai juga diperincikan agar dapat memberikan inspirasi kepada penonton untuk bermusafir mencari ilmu ALLAH SWT yang luas terbentang. Antara tempat yang dikunjungi termasuklah di Châtelet-Les Halles iaitu pasar terbesar di Eropah yang mana pelbagai hasil seni karyawan seluruh negara dipamerkan.



Di situ pekerja tempatan hanya bekerja selama lima jam saja sehari. Sikap tolong-menolong dan ramah mesra sesama penduduk setempat dan pengunjung menjadikan perjalanan Kembara Ilmu semakin santai dan terbuka.



Budaya yang diamalkan oleh masyarakat Paris dan Amsterdam turut menarik perhatian. Amsterdam adalah kota yang penuh dengan basikal di mana lebih 800,000 basikal memenuhi kota yang menjadi pengangkutan popular di sana.



Di kota ini juga terdapat lorong basikal, tempat letak basikal dan juga tempat penyimpanan basikal berbayar. Budaya menunggang basikal adalah sesuatu yang mengagumkan. Selain itu kedua-dua kota ini juga mempunyai bilangan penduduk Islam yang ramai dan pastinya banyak tempat-tempat menarik dilawati bagi memberikan dimensi baru kepada penonton. Antara yang bakal dipaparkan termasuklah pilihan makanan dan pendedahan pelbagai restoran halal yang sering kali menjadi kekangan kepada kebanyakan pelancong Muslim selama ini.





Cabaran ketika berada di sana?



Cabaran paling utama adalah bagaimana hendak mempraktikkan ilmu yang selalunya diberi secara teori kepada praktikal selain menyesuaikan ilmu yang dipelajari dengan keadaan sekeliling. Selain itu, masa dan tenaga kerja yang terhad juga adalah cabaran utama buat kami.



Kami tidak ada banyak masalah dengan keluarga Ustazah Isfadiah lantaran semuanya memberi kerjasama yang cukup baik. Boleh dikatakan hampir semua babak penggambaran dilakukan dalam satu 'take' saja. Apa yang penting, kami mengamalkan konsep perbincangan di antara satu sama lain.







Harapan?



Kami berharap agar penonton dapat menyelami erti sebenar musafir secara terperinci agar tidak hadkan diri kita dan keluarga untuk melancong sambil menyelami keindahan ciptaan ALLAH SWT.



http://ift.tt/11HperG




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire