lundi 29 juin 2015

Bekas isteri Presiden PGSM tarik balik permohonan sah nikah


KUALA LUMPUR 29 Jun – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan penarikan balik kes permohonan pengesahan pernikahan oleh bekas isteri kedua Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang difailkan pada Januari lalu.

Nurliny Yusoff @ Che Soh, 38, membuat permohonan tersebut menerusi peguam syarie, Hazizah Kassim yang turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan penarikan balik pada 23 Mac lalu dan kini hadir untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak mahkamah.

“Permohonan pengesahan pernikahan ini telah difailkan anak guam saya pada 9 Januari lalu dan dipanggil untuk prosiding mahkamah kali pertama pada 4 Februari. Bagaimanapun, anak guam saya tidak mahu lagi meneruskan kes dan memfailkan permohonan penarikan balik kes pada 23 Mac lalu,” kata Hazizah.

Peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang hadir mewakili Musa, 41, selaku responden yang tidak kelihatan ketika prosiding kemudian memaklumkan tiada bantahan daripada pihaknya mengenai permohonan tersebut.

Terdahulu, Hazizah menjelaskan, kedua-dua pihak gagal hadir pada tarikh sebutan 9 Jun lalu untuk proses pengesahan penarikan balik permohonan berkenaan kerana beranggapan kes berkenaan telah selesai selepas permohonan direkodkan di hadapan Pendaftar pada 23 Mac lalu.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Ibrahim Idris menegaskan permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 95 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 adalah dengan kebenaran mahkamah dan semua pihak seharusnya hadir untuk mendengar keputusan mahkamah.

“Saya panggil semua pihak pada hari ini untuk mengesahkan permohonan ini sahaja, tapi saya dapat tahu ada yang memang tak nak datang dan sebagainya. Kenapa pihak responden takut sangat nak datang? Apa yang ditakutkan?” katanya.

Setelah berpuas hati dengan segala penerangan dan tiada bantahan daripada pihak responden, Ibrahim membenarkan permohonan Nurliny dan kes dibatalkan namun menjelaskan pihak pemohon boleh membuat permohonan semula sekiranya berminat untuk meneruskan kes pada masa akan datang.

Musa yang merupakan Presiden PGSM sejak tahun 2012 itu dikatakan telah bernikah dengan Nurliny di negara jiran memandangkan beliau mengambil keputusan untuk berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertamanya pada tujuh tahun lalu.

Pasangan itu kemudian bercerai dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia tujuh tahun.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire