dimanche 28 juin 2015

Share/Info Peningkatan gerakan anti-vaksin membimbangkan

Vaksin Measles Mumps/Rubella adalah sasaran kritikan dan tentangan yang biasa, kononnya menyebabkan Autism.
28 Jun 2015


Di Amerika Syarikat, satu gerakan anti vaksin "United States Anti-Vaccination Movement" didukungi oleh pelbagai individu yang terdiri daripada bekas doktor yang kecewa dengan sistem perubatan di sana, professor yang tiada kaitan dengan dunia sains perubatan, selebriti yang mahu terkenal dengan cara mudah, peminat teori konspirasi, penyokong anti-kerajaan yang tidak percaya apa-apa yang kerajaan AS lakukan untuk kebaikan rakyat, mereka yang pernah mengalami pengalaman buruk di hospital dan pelbagai latar belakang lagi.

Mereka mendakwa bahawa sebatian Thimerosal yang digunakan dalam vaksin menyebabkan peningkatan dalam kes-kes autisme. Saya sangat bersimpati dengan ibubapa yang mempunyai anak Autism dan ada keluarga terdekat saya yang mempunyai anak Autism. Saya memahami kepayahan, kesedihan dan kemarahan mereka.

Semoga Allah membalaskan kebaikan mereka dengan syurga. Malangnya kekecewaan ibubapa yang mempunyai anak Autism ini diraikan dan dimanipulasi. Vaksin dipersalahkan.

Sebenarnya kebanyakan anak-anak yang mengalami Autism dikenalpasti selepas berusia 2-3 tahun. Jadi kebetulan vaksin tersebut diberikan pada usia setahun, maka ia dikaitkan dengan Autism.

Thimerosal tidak lagi digunakan sebagai bahan pengawet dalam vaksin Measles Mumps/Rubella semenjak 1999, tetapi kes-kes Austism semakin meningkat dengan mendadak. Ini membuktikan Autism tiada kena mengena dengan vaksin.

Di Malaysia, salah faham seperti ini semakin dikelirukan oleh agamawan yang tidak memahami proses bagaimana vaksin itu dihasilkan. Mereka mengatakan pemberian itu sebagai harus (kerana tiada pilihan lain) tetapi tidak halal.

Apakah maksudnya? Adakah ia cuba mengelirukan masyarakat? Sedangkan Kementeran Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jakim telah mengadakan sidang akhbar bersama yang menyokong pemberian vaksin terutamanya bagi kanak-kanak dan bayi di Malaysia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia juga jelas memberitahu bahawa semua vaksin yang wajib diberikan kepada kanak-kanak dan bayi sepertimana yang terdapat dalam program vaksinasi oleh KKM adalah harus digunakan.

Majlis Fatwa tidak boleh memberitahu bahawa penggunaan vaksin ini wajib kerana tugas Majlis Fatwa memberikan hukum sama ada boleh digunakan atau tidak saja.

Bagi mereka yang dapat menerima konsep "istihalah" yang dikemukan oleh ulamak kotemporari yang mempertimbangkan bagaimana suatu vaksin diperbuat, tentu boleh menerima penggunaan vaksin secara terbuka.

Ini kerana kuantiti bahan yang dipersoalkan itu terlalu kecil, bukan dalam kiraan tan, kilogram, miligram tetapi dalam kiraan mikrogram dan nanogram yang mana tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Secara perbandingannya,apakah kita yakin apabila berjalan di taman yang kelihatannya banyak anjing, bahawa pakaian kita tidak tercemar dengan debu halus daripada haiwan tersebut dalam kiraan mikrogram atau nanogram?

Adakah keadaan ini dimaafkan? Apatah lagi vaksin ini digunakan untuk kebaikan masyarakat, bukan lagi untuk kepentingan individu. Ada agamawan yang menyokong gerakan anti-vaksin ini mengatakan anak yang tidak divaksin lebih baik dari anak yang divaksin? Apa buktinya? Kajian dari buku atau journal mana yang diambil?

Tidak adil jika seorang kanak-kanak yang sakit dan diberikan vaksin, dibandingkan dengan seorang kanak-kanak yang sihat tetapi tidak diberikan vaksin. Lalu membuat kesimpulan bahawa kanak-kanak yang tidak divaksin lebih sihat dari anak yang divaksin.

Malangnya pemerhatian yang cetek ini dijadikan hujah. Apakah agamawan seperti ini dan mereka (atau gerakan) yang menyokong anti-vaksin ini boleh dipertanggungjawabkan secara langsung untuk setiap jangkitan yang selama ini boleh dicegah vaksin?

Memang KKM tidak dapat membetulkan pandangan semua ahli masyarakat. Namun sekurang-kurangnya membentung agar pemikiran dan tanggapan ini tidak berleluasa. Jangan sampai berlakunya wabak, baru tindakan pembetulan mahu diambil. Pada ketika itu, mungkin kita sudah jauh terlambat.

Dr Zubaidi Ahmad adalah Ahli Jawatankuasa Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia Johor



http://ift.tt/1IEQfKR


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire