mardi 30 juin 2015

Keganasan: Dua beranak dipenjara


SALAH seorang daripada militan (kiri) yang dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan mempromosikan perbuatan keganasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Jun – Menculik beberapa pemimpin negara bagi membebaskan individu yang telah dituduh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), merompak van yang membawa wang tunai dari Genting Highlands dan mencuri senjata dari dua kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semua perkara tersebut merupakan antara perancangan yang disusun oleh sekumpulan 12 individu sebagai ‘usaha’ untuk mendapatkan jihad tanpa perlu ke Syria selepas pertemuan dengan seorang pengusaha kedai perkakasan, Murad Halimmuddin Hassan yang merupakan bekas ahli kumpulan militan Ajnad As-Syams dan Negara Islam (IS).

Dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan di beberapa lokasi termasuk di Kedah dan ibu negara, anak bekas militan itu, Abu Daud turut mengarahkan ahli kumpulan yang bernaung di bawah nama ‘Fisabillilah’ dalam aplikasi WhatsApp untuk merekrut 20 ahli baharu bagi melaksanakan jihad.

Gerakan haram itu bagaimanapun terhenti apabila Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman memberkas 12 individu terbabit ketika mereka membuat pertemuan di MH Hotel & Residences, Tower 2, Menara PGRM di sini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas Murad Halimmuddin, 49, dan penjara 12 tahun terhadap Abu Daud, 25, yang merupakan seorang peniaga, selepas kedua-dua beranak itu mengaku bersalah atas tuduhan berpakat mempromosikan perbuatan keganasan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 5 April lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah antara 30 Januari dan 5 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Murad Halimmuddin juga mengaku bersalah atas tuduhan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas di tempat yang sama pada 29 Mac lalu.

Bagi kesalahan ini, Hakim Kamardin Hashim turut menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas lelaki terbabit. Kesemua hukuman penjara terhadap Murad Halimmuddin bagaimanapun diarahkan berkuat kuasa serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu ketika mengemukakan rayuan, Murad Halimmuddin memohon agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya memandangkan dia mempunyai hutang yang banyak dan enam orang anak yang masih bersekolah.

Bekas militan itu juga memberitahu, dia menghidap beberapa penyakit seperti sakit jantung, buah pinggang malah penyakit kencing manis yang dihidapinya telah menyebabkannya kehilangan penglihatan bagi mata kiri.

Sementara itu, Abu Daud pula dalam nada sebak memohon hukuman penjara yang singkat dikenakan ke atasnya memandangkan dia mempunyai tiga anak yang masih kecil termasuk anak bongsunya baru berusia tiga bulan.

Dia turut memohon agar hukuman penjara tersebut dilaksanakan di Penjara Pokok Sena, Kedah bagi memudahkan ahli keluarganya datang melawat.

“Saya juga memohon maaf kepada Yang Arif dan kerajaan Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya sambil menangis.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire