Seng Lam (kiri) menunjukkan pokok tua di SMK Felda Lurah Bilut yang membahayakan keselamatan pelajar sekolah terbabit.
BENTONG - Kekecewaan penduduk Felda Lurah Bilut melihat permainan seperti buaian rosak di Taman Selesa terubat apabila alatan di taman permainan terbabit telah dibaiki pasukan SmartForce Majlis Perbandaran Bentong (MPB), semalam.
Penduduk, Yip Seng Lam berkata, aduan dibuat sehari sebelum alatan taman permainan terbabit dibaik pulih.
"Keesokannya iaitu hari ini (semalam) mereka telah datang untuk membaik pulih alatan di taman permainan kampung kami ini.
"Tindakan pantas yang diambil dipuji penduduk setempat, malah mereka tetap hadir memenuhi keperluan penduduk meskipun pada bulan puasa ini," katanya.
Tambahnya, dengan pembaikan terbabit dapatlah kanak-kanak di Felda Lurah Bilut beriadah pada waktu petang.
Seng Lam dalam masa sama turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Dipertua MPB, Muhammad Shahid Ismail atas keprihatinan dan tindakan pantas mereka.
"Namun begitu, saya ingin menasihatkan kepada penduduk agar menghargai kemudahan yang disediakan.
"Apabila alat permainan rosak, ia menjejaskan aktiviti harian kanak-kanak di tanah rancangan ini. Oleh itu, bermainlah dengan elok dan jangan rosakkan harta awam ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Lurah Bilut, memohon pihak MPB dapat membantu memotong pokok tua yang membahayakan pelajar sekolah terbabit.
"Ibu bapa mengadu terdapat sebatang pokok tua yang boleh mengancam keselamatan pelajar sekolah ini justeru berharap tindakan pantas dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire