KUALA LUMPUR 29 Jun – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 18 Ogos ini sebutan semula kes Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail yang menghadapi dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta, enam tahun lalu.
Hakim Norsharidah Awang menetapkan tarikh itu sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ilmami Ahmad yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan menetapkan 24 Julai ini untuk pendengaran rayuan Mohamad Salleh untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan berkenaan. Prosiding hari ini berjalan tanpa kehadiran Mohamad Salleh.
Mohamad Salleh, 66, yang diwakili peguam C.K. Lew didakwa menyalahgunakan RM9,758,140 milik NFCorp untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit kondominium One Menerung, Parcel B1-1 dan B1-2, Blok B, Bangsar di sini untuk syarikat milik keluarganya, National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd.
Dia juga didakwa menyalahgunakan RM40 juta wang milik NFCorp dengan memindahkan wang tersebut melalui sekeping cek daripada bank yang sama ke dalam akaun Malayan Banking Bhd., cawangan Solaris, Mont Kiara milik National Meat & Livestock Corporation bagi kegunaan syarikat itu.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Bhd., 138, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara 1 dan 4 Disember 2009 serta antara 6 Mei dan 16 November 2009.
Mohamad Salleh turut menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 132 Akta Syarikat 1965 kerana didakwa melakukan kedua-dua transaksi tersebut tanpa kebenaran mesyuarat agung NFCorp pada tarikh dan tempat yang sama.
Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan pecah amanah selepas mendapati kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan itu adalah teratur dan tidak cacat.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire