SELEPAS kejayaan filem Hantu Kapcai, Kahwin 5 dan Ular, kini anak syarikat KRU Studios, Showbiz Productions kembali dengan filem komedi berjudul Mat Tudung, yang akan ditayangkan bermula 28 Julai ini.
Filem arahan pengarah muda, Wan Mohd. Hafiz Wan Hussein yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Tok Mudim, menampilkan barisan pelakon terkenal, antaranya Fizz Fairuz, Nelydia Senrose dan Izzue Islam sebagai teraju utama.
Jika anda melihat pada judul dan tajuknya, anda mungkin beranggapan ia adalah sebuah filem klise, namun pada dasarnya, ia adalah sebuah filem yang lucu dan menghiburkan.
Filem Mat Tudung mengisahkan seorang kasanova bernama Johari (lakonan Fizz Fairuz) telah jatuh cinta pandang pertama kepada Zizie (lakonan Nelydia Senrose).
Zizie bukanlah seperti gadis biasa yang mudah untuk didampingi tapi dia seorang gadis berhijab yang terkenal dengan sifatnya yang dingin terhadap kaum adam.
Disebabkan tidak mudah mendekati hati Zizie, lantas membuatkan Johari menyamar menjadi gadis bertudung sebagai satu cara memenangi hati Zizie dan berpura-pura sebagai Johanna iaitu adik kepada Johari.
Menggunakan pengaruh Johanna itu, Zizie sudah mulai terbuka untuk mengenali Johari dan pada masa sama Johari turut berjaya menyelami hati Zizie melalui keintiman Johanna dan Zizie.
Namun siapa sangka, Johanna turut digilai ahli keluarga Zizie.
Biarpun tidak logik apabila Johari dan 'Johanna' menjadi kegilaan seluruh keluarga, namun di sinilah wujudnya komedi-komedi yang tidak di sangka-sangka.
Perkara utama yang ingin penulis tekankan di sini adalah lakonan mantap dan berkesan Fizz dalam menjayakan dua watak penting; Johari dan Johanna.
Dengan aksi dan dialog yang tampak bersahaja, penonton pasti akan pecah perut dengan lakonan Fizz kali ini.
Bagaimanapun bagi ibu bapa yang ingin membawa anak-anak menonton filem ini, anda barangkali perlu bersedia mengarang jawapan bernas buat anak-anak.
Ini kerana terdapat babak yang boleh dikategorikan agak lucah dan 'double meaning'. Namun tidaklah secara keterlaluan.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, penerbitnya, Zarina Abdul Rahman berkata, filem ini telah ditapis terlebih dahulu dan tiada satu pun babak dipotong atas sebab kelucahan melampau.
Kita sudah jalani ujian penapisan filem, dan filem ini telah diklasifikasikan sebagai P13. Saya harap penonton melihat sebagai satu cerita dan mempunyai mesej di sebaliknya, jelasnya.
Benar, jangan dilihat pada kelucahan beberapa babak dan dialog, tetapi lihatlah filem ini dari sudut mesej-mesej yang diselitkan dalam gelak ketawa.
Ia membawa mesej tentang betapa pentingnya ikatan kekeluargaan dan erti kejujuran sebenar.
Justeru, bagi anda yang mahu bergelak ketawa dan mengetahui nasib Johari/Johanna, jangan lupa menyaksikan Mat Tudung di pawagam.
http://ift.tt/1uIByF5
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire