mercredi 30 juillet 2014

Bina Puri yakin perniagaan terus berkembang

KUALA LUMPUR - Bina Puri Holdings Bhd, yang yakin terhadap pertumbuhan masa depannya, berkata syarikat itu akan menutup tahun kewangan semasanya dalam kedudukan kukuh walaupun sentimen terjejas akibat kelewatan penyerahan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).



Pengarah Eksekutif Kumpulan Matthew Tee berkata kelewatan itu tidak memberi implikasi negatif ke atas syarikat walaupun menganggapnya sebagai 'publisiti yang tidak diminta' yang menaikkan nama Bina Puri.



Beliau berkata syarikat itu bangga dengan projek klia2 memandangkan semua pihak bekerja keras untuk menyiapkannya dalam tempoh masa yang ditetapkan, sama ada Bina Puri sendiri atau pihak lain.



"Ia suatu tugas yang sukar berikutan banyak kerumitan, pelanggan yang berbeza keperluan dan keadaan tanah.



"Namun kami berjaya menyelesaikan kerja dan keadaan inilah yang meningkatkan reputasi Bina Puri," katanya kepada Bernama.



"Kami tidak pernah meninggalkan apa-apa projek ... sentiasa menyiapkannya. Tanpa mengira kesukarannya, kami tidak pernah dipecat setengah jalan dan projek kami diserahkan kepada kontraktor lain untuk menyelesaikannya," katanya kepada

Bernama.



Tee memuji Malaysia Airports Holdings Bhd Bhd atas cara ia menangani publisiti buruk berikutan kos projek yang melambung tinggi.



"Kadang-kadang tarikh berubah atas sebab-sebab tertentu, perubahan kos yang kewajarannya boleh dijelaskan." katanya.



Beliau berkata syarikat itu menyasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan semasa, dengan bahagian pembinaan menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat.



Tee berkata syarikat itu juga bekerja keras untuk mempelbagai perniagaannya dalam bidang yang membawa keuntungan yang lebih tinggi, terutama hartanah dan tenaga.



"Tahun ini bakal menyaksikan jumlah dagangan yang lebih tinggi dengan banyak projek hartanah akan dilancarkan, yang boleh menyumbang kepada margin yang lebih tinggi," katanya.



Beliau juga berkata syarikat itu sudah sedia untuk melaksanakan cukai keuntungan harta tanah selain cukai barang dan perkhidmatan yang bermula April tahun depan.



Tee berkata projek sambungan LRT Ampang bernilai RM1.1 bilion yang dilaksanakan oleh syarikat itu kini sudah 60 peratus siap dan keseluruhan projek dijadual siap sepenuhnya pada 2016.



Bina Puri juga dilaporkan berada pada kedudukan utama bersama pesaingnya Mudajaya Group Bhd, untuk membida cadangan projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway sepanjang 19.9 km yang menelan belanja RM2 bilion. - Bernama




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire