Rozaini melayan pelanggan yang datang membeli mentarang di gerainya, semalam.
< 1 / 1 >
JERLUN - Mentarang atau nama saintifiknya Pholas orientalis iaitu sejenis siput cengkerang 'digilai' golongan penjaja di sekitar Jerlun kerana memberi pulangan lumayan.
Bagaimanapun, ia hanya boleh didapati apabila tiba musimnya bermula November hingga Februari dan menjadi kegilaan penggemar makanan laut.
Sifatnya yang membiak di kawasan pantai berlumur menyebabkan tidak semua nelayan mengambil kesempatan mengutip haiwan tersebut.
Bagi Rozaini Hashim, 44, ketibaan musim mentarang sentiasa ditunggu walaupun dia sekeluarga terpaksa bermain lumpur untuk memperoleh hasilnya.
Menurutnya, dia bersama suami dan anak akan mengutip mentarang di persisiran pantai Kuala Sanglang sebelum dijual kepada orang ramai.
Harga mentarang bergantung kepada saiznya antara RM8 hingga RM12 sekilogram. Kalau tiba musimnya seperti sekarang, ramai orang pasti akan ke sini, katanya.
Tambah Rozaini, purata setiap hari jualan boleh mencecah lebih 100 kilogram (kg) dan mampu meraih pendapatan lebih banyak sekiranya dijual secara borong.
Selain jual hasil kutipan sendiri, saya juga jual hasil kutipan penduduk di sini, katanya yang juga penjaja ikan di luar musim mentarang.
Seorang lagi penjaja, Mohd Firdaus man, 25, berkata, isi mentarang yang lebih manis berbanding spesies siput lain menyebabkan makanan laut ini mendapat permintaan tinggi.
Kalau jualan biasa sehari boleh habis 100 kg, kalau stok ada banyak kami jual borong kepada pengusaha restoran makanan laut.
Kalau di restoran, mentarang yang siap dimasak dijual pada harga RM30 sekilogram. Biasanya mentarang sedap dibakar atau masakan berhalia, katanya.