KUALA LUMPUR 31 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan 2014 sebagai tahun paling mencabar dalam karier beliau, selain tempoh yang sukar dalam sejarah Malaysia apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai perkara yang meruntun hati setiap lapisan masyarakat di negara ini.
Namun begitu, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga beliau apabila kesemua ujian dan dugaan yang melanda Malaysia diharungi oleh setiap rakyatnya dalam suasana penuh perpaduan dan bersatu hati.
Dua belas bulan lalu, di dalam perutusan tahun baharu saya, saya melihat kepada Malaysia yang sejahtera dan bersatu. 2014 sememangnya membawa kesejahteraan kepada Malaysia. Ekonomi kita berkembang kukuh. Tetapi kita semua juga bersatu di dalam kesedihan.
Dalam masa beberapa bulan, kita telah kehilangan 93 rakyat Malaysia. Kita menjadi perhatian dunia, bukan sekali tetapi dua. Kehilangan MH370, nahas MH17, menjadi sebahagian cerita kita sekarang. Saya berkongsi kesedihan dengan mereka yang terlibat. Seperti semua rakyat Malaysia, keluarga saya juga tersentuh dengan tragedi itu, katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2015 yang disiarkan di blog www.najibrazak.com hari ini.
Najib berkata, selain percaya negara mampu mengharungi tragedi yang berlaku dengan lebih kuat dan penuh semangat, beliau begitu berbangga dengan cara Malaysia menghadapi krisis yang berlaku terutama berkaitan MH370 dan MH17.
Kita mungkin tidak melakukan semuanya dengan betul tetapi apabila MH370 hilang, kita berupaya menyatukan 26 negara termasuk China dan Amerika Syarikat untuk mencari di segenap dunia. Apabila Malaysia meminta pertolongan, dunia menjawabnya.
Beberapa bulan selepas itu, kita berada di dalam zon konflik tetapi Malaysia berjaya memasuki zon itu apabila tiada yang mampu, membawa pulang mayat mangsa dan kotak hitam daripada MH17. Diplomasi senyap telah membawa kita mencari apa yang berlaku kepada MH17 dan memberi keadilan kepada mangsa, katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, bencana banjir yang melanda negara terutama di Pantai Timur sehingga menyebabkan kemusnahan pada skala besar serta penderitaan mangsa ekoran kejadian itu di ambang penutup 2014 begitu mengejutkan beliau.
Oleh kerana itu katanya, kerajaan kini meletakkan keutamaan untuk membantu mereka yang menjadi mangsa dengan menyalurkan bekalan dan pertolongan termasuk dalam bentuk kewangan supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Beliau berkata, pada 2015, kerajaan akan memberi keutamaan untuk usaha membaik pulih serta membina semula infrastruktur, perniagaan dan rumah-rumah yang musnah dalam bencana banjir itu dengan memastikan pembangunan yang dibina nanti mesra alam supaya tidak berlaku lagi kejadian banjir lebih buruk.
Dalam pada kita meneruskan usaha menyelamat dan membangunkan semula kemusnahan ekoran banjir, saya juga berdoa kepada semua yang masih berisiko berhadapan dengan bencana itu. Begitu juga doa dan harapan kita semua kepada saudara kita di Indonesia, dalam ketika mereka berhadapan dengan penemuan serpihan pesawat Air Asia QZ8501 yang terhempas, katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib turut menekankan peranan yang bakal dimainkan Malaysia terutama menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, selain mula menduduki kerusi tidak kekal Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.
Katanya, peranan itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk menyatakan sokongan kepada objektif utama termasuk berhubung kedaulatan dan keselamatan masa depan penduduk Palestin, selain menyumbang kepada penyelesaian masalah keselamatan di peringkat global.
Menyentuh tentang keselamatan, Najib turut menekankan bahawa kerajaan akan terus memberi fokus terhadap membina masyarakat yang selamat, sejahtera dan saksama dengan memastikan keselamatan rakyat diutamakan.
Beliau berkata, kerajaan akan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi risikan antarabangsa memandangkan ancaman keganasan merentasi sempadan negara dan melibatkan rakyat Malaysia sendiri terjebak dengan propaganda membabitkan aktiviti kumpulan militan yang digelar Negara Islam (IS).
Sementara itu, kerajaan juga pada 2015 begitu komited untuk memperkukuhkan keadaan ekonomi negara bagi jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat secara lebih menyeluruh.
Sehubungan itu katanya, Malaysia perlu lebih proaktif untuk membina ekonomi yang berdaya tahan dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Ekonomi kita berada di landasan betul apabila diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada 2014 dan 4.7 peratus pada 2015. Defisit kita menurun, rizab kita juga kukuh, selain mempunyai institusi kewangan yang diyakini, kadar pengangguran yang rendah serta pelaburan asing paras tertinggi. Ekonomi Malaysia sedia berdepan dengan sebarang situasi, katanya.
- See more at: http://ift.tt/13T1KRM
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire