mardi 30 décembre 2014

Jangan naikkan caj premium hartanah






FD Iskandar (tengah), Naib Presiden Rehda, Datuk Anthony Adam Cho dan pihak pengurusan Rehda bersama sumbangan RM150,000 kepada mangsa banjir, semalam.





KERAJAAN negeri disarankan tidak menaikkan caj premium dan kos pembangunan hartanah kepada pemaju bagi mengelakkan kenaikan harga rumah secara mendadak.



Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, pihaknya melihat kenaikan caj premium yang tinggi bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.



“Apa yang saya lihat sebelum ini, caj premium dikenakan kerajaan negeri empat ke lima tahun lalu hanya tiga peratus sahaja. Tetapi hari ini, cas itu dinaikkan sehingga 18 peratus.



“Malah mereka turut memperkenalkan kos lain seperti kos pembangunan dan sebagainya, sekali gus menaikkan harga rumah,” katanya selepas penyerahan sumbangan mangsa banjir kepada Tabung Mangsa Bencana Negara di Kelana Jaya.



Menurutnya, jika situasi ini dilihat dan dikaji semula khususnya bagi rumah mampu milik, pihaknya percaya harga rumah menjadi stabil dan tidak naik mendadak.



Mengulas cabaran dan prospek industri pembangunan hartanah bagi 2015, FD Iskandar berkata, tahun depan dilihat sedikit mencabar terutamanya dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April nanti.



“Tahun ini juga amat mencabar bagi industri pembangunan hartanah terutamanya menghadapi kenaikan kos menjalankan perniagaan serta syarat pinjaman perumahan dari bank semakin sukar.



“Kemudian diikuti pelaksanaan GST tahun depan yang kami menjangkakan penurunan dari segi jualan rumah bagi tempoh sembilan ke 12 bulan selepas pelaksanaannya,” katanya.



Pada majlis yang sama Rehda mengumumkan sumbangan wang tunai RM150,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire