Kawasan parkir pekan Greenwood dipenuhi barangan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.
< 1 / 1 >
GOMBAK - Kawasan meletak kenderaan di pekan Greenwood di sini semalam dipenuhi barang keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir Pantai Timur.
Sehingga jam 2 petang, sekurang-kurangnya enam lori telah mengangkut barangan keperluan berupa pakaian, makanan dan lain-lain untuk dibawa ke Putrajaya.
Sukarelawan dari Surau An-Nur Taman Koperasi Polis Fasa 2, Zanarudin Jaafar berkata, pihaknya tidak menyangka sumbangan yang diterima di luar jangkaan hasil hebahan kurang dua jam di saluran aplikasi WhatsApp.
Kami memang tak sangka orang awam begitu prihatin dan bersungguh menyalurkan bantuan. Kami hanya bawa kereta pacuan empat roda untuk bawa keperluan ke Gua Musang dan menyasarkan waktu kutipannya bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.
Tapi disebabkan sambutan menggalakkan, kami terpaksa mendapatkan bantuan dari pihak DBKL dan orang perseorangan untuk menyediakan lori, katanya.
Katanya, meskipun bantuan yang diterima memberangsangkan namun sumbangan makanan masih terhad.
Untuk pakaian sudah mencukupi tapi makanan, tilam, selimut dan lampin pakai buang masih kurang.
Pihak berminat menghulurkan bantuan boleh bekalkan keperluan tersebut kerana itu keutamaan mangsa banjir, katanya.
Program sumbangan di bawah inisiatif kelab anak-anak Gua Musang yang dijalankan di Tesco Ampang, Alamanda Putrajaya, Restoran Wira Sejati Seksyen 24 Shah Alam selain Greenwood semalam.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire