dimanche 13 septembre 2015

Tiga beranak bertarung nyawa tanggung sakit barah



KOTA BHARU - "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul" itu perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan penderitaan yang dialami oleh tiga beranak di Kampung Chat di sini.

Mereka bukan sahaja terpaksa bertarung nyawa melawan penyakit barah, malah terpaksa meminta simpati keluarga apabila hanya mampu tinggal di rumah yang disewakan bapa saudaranya.

Lebih menyayat hati, apabila ketua keluarga terbabit meninggalkan isterinya yang juga menghidap penyakit barah saraf, anemia, talasemia dan buasir teruk yang ketika itu baru melahirkan anak bongsunya Mohd Hakimi, 21, ketika berusia tiga bulan.

Ibu kepada tiga anak ini, tabah walaupun ditinggalkan suami, namun dia masih meneruskan kehidupan dengan menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga walaupun dia sendiri terpaksa menanggung kesengsaraan demi menjaga anak kedua dan bongsunya yang masing-masing disahkan mengalami barah saraf dan barah otak.

Menurut Norma Mahmud, 57, walaupun dia sendiri turut mengidap barah saraf yang merupakan penyakit keturunan daripada arwah ibunya dan kudratnya juga tidak berapa kuat, namun dia masih gagahkan dirinya untuk menjaga anak bongsunya yang telantar sejak lapan tahun lalu akibat menanggung penyakit kronik itu.

“Keadaan Mohd Hakimi amat lemah, dia hanya mampu disuap susu dan bubur dan kadangkala’ laksam’ makanan Kelantan kegemarannya, sebagai makanan harian dan minum susu formula khas bagi memberi tenaga kepadanya.

“Dia langsung tidak boleh bergerak dan terpaksa disuap makan dan minum ke mulutnya, begitu juga untuk menguruskan dirinya.

Mujurlah anak kedua, Mohd Azam Hidayat, 24, yang turut menanggung penyakit barah otak, masih boleh membantu saya, walaupun dia juga menanggung penyakit kronik,” katanya kepada pemberita.

Bagi mendapatkan perbelanjaan harian, dia terpaksa mengharapkan hanya kepada anak sulungnya, Mohamad Khairul Izudin, 25, yang menjadi tulang belakang keluarga lebih-lebih lagi dia dan dua anaknya yang lain terpaksa menanggung penyakit terbabit dan memerlukan perbelanjaan untuk mendapatkan bekalan ubat dan pelbagai kelengkapan lain.

“Mujurlah anak sulung dapat membantu dan dia mengambil upah menghantar beras dan dengan sumber perbelanjaan darinya walaupun tidak seberapa dapatlah saya gunakan untuk membeli kelengkapan seperti lampin pakai buang, susu formula khas dan ubat-ubatan lain.

“Di samping itu, bantuan OKU terlantar yang diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 300 oleh anak bongsunya itu, juga digunakan untuk perbelanjaan mendapatkan bekalan biarpun kadangkala terpaksa mengikat perut kerana tidak cukup perbelanjaan,”katanya sebak.

Bayangkan keluarga ini yang turut hidup dalam kedaifan terpaksa menanggung perbelanjaan lebih RM 1,000 sebulan bukan sahaja untuk anak bongsunya yang terlantar namun untuk perbelanjaan diri sendiri yang juga memerlukan bekalan ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan akibat penyakit buasir dan barah saraf yang dihadapinya.

"Disebabkan keadaan dua anak saya dan kudrat yang tidak berapa kuat, kini saya tidak bekerja dan sepenuh masa dihabiskan dengan menjaga kedua-dua anak yang tidak sihat ini. Kalau ikutkan hati, mahu bekerja tetapi atas faktor kesihatan diri dan dua anak saya batalkan hasrat.

"Kadang-kadang apabila mak cik dimasukkan ke wad akibat sakit, Azam akan menjaga adiknya. Cuma mak cik bimbang kalau-kalau Tuhan menjemput mak cik lebih awal. Bagaimana nasib mereka," katanya.

Sebelum ini, Norma layak menerima bantuan melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi dia tidak mempunyai tanah atau tapak rumah untuk membina rumah tersebut.

Norma berkata, jika ada pihak yang dapat menyediakan rumah untuk mereka sekeluarga, dia akan berasa amat bersyukur.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norma di talian 014-5467248 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam, 0303-6020-1607-44 atas nama Norma Mahmod

Norma mengharapkan bantuan dari orang ramai untuk bantuan susulan bagi membantu keluarganya dan meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.



sumber:http://ift.tt/1K82d33


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire