dimanche 13 septembre 2015

Wanita miliki simpanan RM1.4 juta dipercayai pengedar dadah ditahan di Langkawi


KETUA Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang (tengah) menunjukkan sebahagian kad mesin juruwang automatik, buku akaun dan dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, semalam. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Polis menahan seorang wanita yang dipercayai dalang utama jaringan pengedaran dadah di pulau ini serta merampas lima kilogram heroin dan 171 gram syabu di Jeti Kuah, Khamis lepas.

Hasil siasatan, polis turut mengesan simpanan berjumlah RM1.4 juta dalam akaun bank wanita berusia 28 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, wanita itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini, sebaik tiba dengan menggunakan feri kira-kira jam 6.30 petang.

"Dadah itu ditemui dalam beg galas yang dibawa wanita tersebut dan ia dianggarkan bernilai RM202,000 dan mampu dijual kepada kira-kira 50,000 penagih.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

"Polis juga sedang mengesan lain-lain harta milik suspek untuk tindakan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Che Ghazali berkata, wanita berkenaan adalah antara dua pengedar yang berjaya diberkas menerusi Program Jihad Perangi Dadah yang dilancarkan baru-baru ini yang bertujuan membersihkan pulau tersebut daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kedua-duanya yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, katanya, dalam operasi di kawasan Bukit Malut di sini di antara 3 dan 10 September lalu, polis berjaya memberkas 71 penagih serta mengenal pasti 11 pengedar heroin dan syabu yang beroperasi di situ.

"Bagi 11 pengedar yang telah dikenal pasti ini, polis akan terus memantau kegiatan mereka untuk diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 ataupun Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya. - BERNAMA


Selanjutnya di : http://ift.tt/1K5oxIk


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire