lundi 22 décembre 2014

Harga minyak turun bagi penumpang untung

PENURUN harga minyak pesawat sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, menghasilkan penjimatan sebanyak US$7 bilion minyak bagi industri penerbangan global pada 2014, menurut OAG, syarikat peneraju pasaran dalam risikan penerbangan.



"Walaupun dilaporkan penurunan harga minyak merupakan berita baik bagi syarikat penerbangan dan para penumpang, terdapat kemungkinan harga rendah ini mencerminkan permintaan yang lemah dalam ekonomi global.



"Dalam hal ini, kita mungkin berada pada paras tertinggi kitaran perniagaan penerbangan komersil," kata Mark Clarkson, Pengarah Pembangunan Perniagaan di Asia Pasifik OAG.



OAG mengumumkan penemuan utama dalam laporan trend hari ini, "Apa yang mencorakkan perjalanan udara pada 2015?".



Laporan itu menyatakan perjalanan keluar rakyat China akan kekal menjadi topik hangat pada 2015 berikutan permintaan bagi pengangkutan udara akan terus meningkat.



"Sejak November 2013, 19 syarikat penerbangan China baharu telah memulakan perkhidmatan atau dalam peringkat perancangan. Walaupun pertumbuhan penumpang enam peratus setiap tahun, pasaran perjalanan rakyat China akan menjadi dua kali ganda pada setiap 12 tahun," katanya.



Kebanyakan pasaran terbesar untuk perjalanan ke dan dari China adalah dalam Timur Laut Asia, dan pasaran nombor satu ialah Korea Selatan.



Bilangan penumpang yang menaiki penerbangan antara China dan Korea Selatan berkembang sebanyak 39 peratus pada tahun ini hingga September 2014, katanya.



Kehilangan dua pesawat Malaysia Airlines dan pergolakan di Thailand, mendorong pelancong China untuk mengelak kawasan Malaysia-Thailand-Singapura, dengan jumlah pengunjung turun sebanyak 30 peratus, kata OAG.



Menurut Penganalisis Trafik OAG, pertumbuhan sifar dalam pasaran ini berlaku ketika jumlah penumpang antarabangsa dari China berkembang sebanyak 19 peratus pada September 2014. - Bernama




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire