dimanche 28 septembre 2014

Nelayan takut tangkap ikan 'diganggu' pasukan marin Singapura



ZAINI Abu Bakar (dua dari kanan) bersama Paul Khiu Khon Chiang (kiri) dan Kamarudin Ahmad mengecat mercu tanda Kampung Sungai Melayu di Gelang Patah, Nusajaya, kelmarin. - UTUSAN/Baazlan Ibrahim



JOHOR BAHRU - Golongan nelayan di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah dekat sini melahirkan rasa tidak puas hati apabila mata pencarian mereka tergugat kerana 'diganggu' pasukan Marin Singapura dan kapal pasir di Selat Tebrau.



Ketua Komuniti Nelayan kampung itu, Kamarudin Ahmad berkata, sudah banyak kali pihaknya membuat aduan berkenaan diganggu oleh pihak berkuasa dari negara jiran ketika nelayan yang dilihat sedang menangkap ikan di perairan tersebut.



"Pihak berkuasa Singapura bertindak mengganggu golongan nelayan di sini yang didakwa bersalah menangkap ikan di perairan mereka. Mereka juga bertindak menahan dan memarahi nelayan sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan nelayan.



"Saya berharap Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dapat mengambil tindakan terhadap perkara ini yang sudah lama membelenggu golongan nelayan di kampung ini," katanya dalam sesi dialog Program Omni Presence-Feet on Street Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, dekat sini semalam.



Yang turut hadir, Komander PPM Wilayah Dua, Asistem Komisioner Paul Khiu Khon Chiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Sosial, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Nor Hisham Hussien.



Dalam pada itu, Kamarudin turut menjelaskan bahawa kapal pasir yang melalui kawasan selat berkenaan untuk membawa muatan ke Iskandar Waterfront, menyebabkan jaring ikan yang dipasang nelayan rosak dan menjejaskan tangkapan mereka.



"Kapal yang melalui kawasan itu bukan sahaja merosakkan jaring ikan yang dipasang malah bot nelayan juga hampir terbalik dibuatnya. Malah pernah ada kes nelayan maut apabila dilanggar kapal pasir di kawasan berkenaan," katanya.



Mengulas mengenai perkara itu, Khon Chiang berkata, pihaknya akan membangkitkan isu berkenaan dalam sesi mesyuarat yang akan datang bersama polis Marin Singapura bagi memastikan nasib golongan nelayan terbela.



Menjawab mengenai permasalahan laluan tersebut, Dr. Zaini berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan jabatan yang berkaitan bagi menetapkan had masa bagi kapal pasir beroperasi di kawasan berkenaan.







Artikel Penuh: http://ift.tt/YBRo5y

© Utusan Melayu (M) Bhd




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire