lundi 29 septembre 2014

Tiada laporan murid boikot UPSR ulangan esok





KUALA LUMPUR - Beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekitar ibu negara tidak menerima sebarang laporan berhubung murid yang tidak akan menduduki semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok.



Ketika dihubungi Bernama, mereka berkata, segala persiapan berjalan lancar, meskipun, sebelum ini terdapat rungutan dan rasa dukacita pelajar yang terpaksa menjalani peperiksaan ulangan disebabkan masalah kebocoran.



Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Amir Azhar Osman berkata, hasil perbincangan persatuan dengan pengurusan sekolah, dijangkakan keseluruhan 160 murid Tahun Enam sekolah berkenaan menduduki semula peperiksaan itu esok.



"Kami tidak terima sebarang maklumat yang mengatakan ada pelajar yang tidak akan datang esok", katanya, sambil menambah selain kelas tambahan, pihak sekolah turut menyediakan makanan percuma kepada pelajar yang terlibat sepanjang peperiksaan.



Kertas ulangan tersebut diadakan ekoran kebocoran kertas peperiksaan UPSR awal melibatkan 472,853 murid yang mendudukinya di seluruh negara bermula 9 September lalu.



Berikutan itu, Lembaga Peperiksaan menetapkan peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038 berlangsung esok.



Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober. - Bernama





http://ift.tt/1rxD7Tm




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire