samedi 27 septembre 2014

PBB : Rosmah kongsi 5 strategi utk perkasa wanita

26 September 2014







NEW YORK, 26 Sept - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pemerkasaan wanita perlu diiringi dengan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan sepanjang kitaran kehidupan mereka.



Beliau berkata, perlu ada komitmen kepada kesamaan gender di dalam semua aspek politik, ekonomi dan kehidupan sosio-budaya supaya kaum wanita mempunyai akses kepada peluang dan hasil yang sama.



"Kerajaan Malaysia telah memberi lebih penekanan kepada pembangunan wanita melalui akses kepada pendidikan berkualiti, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik termasuk perkhidmatan kesihatan kesuburan," katanya pada persidangan wanita pertama untuk tindakan global mengenai kesihatan kewangan wanita dan kanak-kanak perempuan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini hari ini.



Persidangan itu diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Khamis (Jumaat di Malaysia).



Katanya, lebih 95 peratus daripada penduduk luar bandar menikmati kemudahan perubatan di Malaysia.



Jelasnya, kesemua lapan sasaran ditetapkan Sasaran Pembangunan Milenium 2010 telah dicapai oleh Malaysia termasuk pendidikan rendah sejagat, pengurangan kadar kematian kanak-kanak, kesamaan gender dan kesihatan kesuburan.



Dalam menarik perhatian terhadap strategi kerajaan untuk pemerkasaan ekonomi wanita, beliau menggariskan lima polisi dan strategi yang diambil kerajaan iaitu : -



1. Menyediakan pekerjaan yang menjana pendapatan untuk mereka termasuk menarik pelaburan syarikat pembuatan di kawasan luar bandar.



2. Memastikan penduduk luar bandar termasuk wanita memiliki tanah, sebagai contoh membuka skim tanah dan menempatkan semula penduduk miskin luar bandar untuk memajukan ladang getah dan kelapa sawit.



3. Memberikan pendidikan dan latihan untuk wanita mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi selain menggalakkan keusahawanan.



4. Memberikan akses kepada modal terutamanya kemudahan kredit mikro.



5. Menyediakan kemudahan yang akan menghubungkan pembangunan luar bandar kepada kemajuan di bandar.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire