lundi 24 novembre 2014

Bonus satu setengah bulan untuk penjawat awam Selangor

November 24, 2014



SHAH ALAM: Berita menggembirakan kepada penjawat awam Selangor. Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali telah bersetuju untuk memberikan bonus satu setengah bulan gaji kepada para penjawat awam di negeri Selangor.



Katanya, pembayaran bonus sebulan gaji telah dibuat pada bulan Julai tahun ini, dan pembayaran bonus seterusnya akan dibuat pada 18 Disember 2014, untuk membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak-anak.



Selain, Azmin turut mengumumkan pelantikan Pegawai Daerah Wanita yang pertama di negeri Selangor, sebagai Pegawai Daerah Sepang.

“Pentadbiran hari ini bersifat progresif, non discriminatory dan inklusif,” ujarnya sewaktu membentangkan Belanjawan Selangor 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.



Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan negeri berikrar untuk melaksanakan pentadbiran yang mengamalkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, berintegriti dan tadbir urus yang baik.



Oleh itu, katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Swadaya Masyarakat atau NGO sebagai rakan kongsi, bukan sebagai musuh dalam sistem demokrasi untuk mencapai kecemerlangan dalam urus tadbir.



Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Pejabat Integriti Selangor dan juga menyambut baik cadangan daripada NGO supaya diwujudkan Pegawai Pejabat Hisbah yang bertugas untuk menyiasat aduan awam selari dengan dasar kerajaan negeri yang berpegang kepada prinsip pentadbiran yang bersih dan berintegriti,” ujar Azmin.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire