mercredi 3 décembre 2014

Bukan Melayan Isu Berkemban - Eirma Fatima



Produser dan pengarah terkenal, Eirma Fatima, 46, berharap isu berkemban yang pernah tercetus beberapa bulan lalu yang mengaitkan karya arahannya berjudul Takhta 3 Ratu tidak dibangkitkan semula mana-mana pihak apabila ia akan disiarkan pada 25 Disember ini.



Tegasnya, dia tidak mahu lagi melayan kontroversi berkenaan meskipun sebelum ini ada pihak mengkritik pendiriannya apabila dia bertindak mempertahankan tindakan itu dan mengeluarkan kenyataan di Instagram milikya: “Aku salah kerana melanggar hukum kemban. Andai kemban membawa aku ke neraka, aku redha."



Ketika ditemui pada majlis prebiu telefilem berkenaan di Istana Budaya, semalam, Eirma bersyukur apabila sepanjang penggambaran telefilem itu dia tidak berdepan banyak cabaran dan mendapat kerjasama baik daripada barisan pelakon serta kru produksi yang sangat komited.



"Minta maaf kalau saya terkasar bahasa. Satu ketika dulu saya pernah terduduk hampa kerana filem Embun terpalit dengan kontroversi ekoran babak rogol.



"Isu itu membunuh rasa saya terus mengarah pada masa akan datang. Namun, kali ini saya bangkit dan bukan melayan isu kemban tetapi berharap isu itu tidak lagi dibangkitkan," katanya.



Takhta 3 Ratu adalah kisah fiksyen berlatarbelakangkan sejarah mengenai konflik perebutan takhta dan cinta dijayakan antaranya Datuk Rahim Razali sebagai Tun Perak, Soo Wincci (Puteri Hang Li Po), Azri Iskandar (Sultan Mansur Shah), Beto Khusyairy (Hang Jebat), Ellie Suriaty (Mbak Kuriang) dan Meor Hashim Manap (Abbi Andri).



Dalam pada itu, Eirma juga berkata walaupun karyanya ini bersandarkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15, dia tidak berniat mengelirukan penonton tentang sejarah dengan perjalanan cerita yang dipaparkan selama 2 jam setengah itu.



"Sebelum cerita ini bermula, terang-terang telah ditulis kisah ini difiksyenkan. Apa yang dipaparkan adalah sudut pandangan tiga ratu daripada pandangan saya sebagai seorang pengkarya," ujarnya.



Sejurus selepas tayangan di Astro First (saluran 480) nanti, karya ini juga akan dipentaskan menerusi versi teater di Istana Budaya dari 13 hingga 22 Disember 2014.



Untuk versi teaer selain mengekalkan barisan pelakon sedia ada, Eirma turut menyelitkan watak baru seperti Megat Panji Alam dijayakan Remy Ishak dan Izreen Azminda sebagai Galuh Chenderai Kirana.



http://ift.tt/1yoiqw8




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire