jeudi 29 janvier 2015

Syabas akan laksana Kajian Semula Deposit

KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)akan melaksanakan Kajian Semula Deposit (KSD) mulai 31 Julai ini melibatkan pengguna domestik, komersial dan industri.



Syabas, dalam kenyataan hari ini, berkata berkata sekiranya deposit pengguna sedia ada kurang daripada nilai deposit baharu, maka pengguna dikehendaki membuat bayaran tambahan deposit bersama bil air bulan semasa pada bulan tersebut.



"Walau bagaimanapun, sekiranya nilai deposit sedia ada melebihi nilai deposit baharu, deposit akaun air pengguna kekal pada jumlah sedia ada dan pengguna tidak perlu membuat bayaran tambahan," katanya.



Menurutnya sekiranya pengguna gagal membayar tambahan deposit dalam tempoh dua bulan berturut-turut, maka syarikat itu berhak untuk memotong bekalan air pengguna setelah tamat tempoh notis pemotongan 14 hari yang dikeluarkan.



KSD adalah proses menilai semula Purata Penggunaan Air bagi kegunaan domestik secara tahunan berdasarkan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj perkhidmatan Air) 2014 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang diwartakan pada 1 Februari 2014.



Syabas sebagai operator yang bertanggungjawab terhadap pembekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan ini, menurut kenyataan itu.



Berdasarkan peraturan tersebut jumlah bayaran deposit akaun pengguna domestik akan dinilai semula setiap tahun pada 31 Januari berbanding jumlah deposit sedia ada.



Sementara jumlah bayaran deposit bagi akaun pengguna komersial dan industri dinilai semula dua kali setahun iaitu pada 31 Januari dan 31 Julai.



Namun bagi tahun ini, Syabas berkata penilaian semula bayaran deposit kedua-dua kategori pengguna itu akan dilakukan pada 31 Julai ini.



Menurut Syabas, notis pemberitahuan berkenaan KSD telah diedarkan kepada pengguna melalui bil air bulan Ogos hingga Disember tahun lepas. - Bernama




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire