mardi 27 janvier 2015

Ibu rayu anak hilangkan diri 3 tahun segera pulang







SEGAMAT 27 Jan. – Seorang ibu di Taman Indah, Bukit Siput, dekat sini merayu anak perempuannya segera pulang ke rumah selepas tiga tahun terputus hubungan kerana menjauhkan diri tanpa sebab.



Nurwati Abdul Hamid, 52, berkata, anak sulungnya, Jumatul Nuraisyah Sharifudin, 25, dan lebih mesra dipanggil Ejum berubah sikap selepas melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tiga tahun lalu.



"Pada awalnya hubungan saya dengan dia yang melanjutkan pengajian selama empat tahun di universiti tersebut mulai tahun 2010 seperti biasa sahaja dan saya sering ke Perlis menaiki bas semata-mata mahu berjumpa dengannya.



"Namun selepas beberapa tahun sikapnya mula berubah dan lebih ketara selepas bapanya berkahwin lain dua tahun lalu sehingga tidak mahu menghubungi saya lagi, apatah untuk pulang ke kampung," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.



Dia begitu terkilan apabila Ejum tidak memaklumkan kepadanya tentang majlis konvokesyen dan hanya mengetahuinya apabila dimaklumkan suaminya beberapa hari sebelum majlis tersebut.



Walaupun seolah-olah tidak diperlukan, dia tetap mengambil keputusan untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut kerana terlalu ingin melihat anaknya menggenggam segulung ijazah.



Namun, pertemuan pada majlis itu tidak seperti yang diharapkan, sebaliknya timbul suasana tegang sehingga dia mengambil keputusan untuk pulang awal sebelum dapat menyaksikan Ejum menerima ijazah.



Menurutnya, Ejum memberitahunya bahawa dia tidak akan pulang selagi belum mencapai cita-cita, namun tidak pula memberitahu apa cita-citanya dan hanya mengetahui perkembangan Ejum yang kini berada di Kuala Lumpur dan masih belum bekerja menerusi anak keduanya, Syafrizal Sharifudin, 23, yang menetap di Johor Bahru kerana mereka sering berhubung.



“Saya menanggung kos pengajiannya di universiti dengan hanya berniaga apam balik," katanya sambil berharap Ejum segera pulang untuk bertemu dengannya.





- See more at: http://ift.tt/15QHsKh




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire