dimanche 27 septembre 2015

Padah curi minyak pelincir kenderaan



TAWAU – Tindakan seorang penganggur cuba mencuri dua buah kotak minyak pelincir kenderaan dari sebuah kilang di Tanjung Batu di sini membawa padah apabila dia dicekup dan dibelasah sekumpulan penduduk kampung kelmarin.



Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, suspek berusia awal 20-an itu dikatakan tidak menyedari kelibatnya diekori semasa keluar dari pekarangan kilang terbabit.

Sumber polis memberitahu, salah seorang penduduk kampung menghampiri suspek dan bertanyakan mengenai kotak yang dibawa lelaki tersebut.

"Suspek yang berjalan kaki dikatakan terkejut sebelum melarikan diri dan meninggalkan barangan tersebut di tengah jalan.

"Beberapa penduduk kampung kemudiannya mengejar suspek sehingga satu kilometer. Suspek yang bertindak agresif cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas dibelasah penduduk," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ujar beliau, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa (gambar kecil) ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Suspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.



sumber:http://ift.tt/1s3c5TW


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire