jeudi 30 octobre 2014

4 Briged siap sedia hadapi banjir



PASUKAN 4 Briged (Mekanize) membuat pelbagai persediaan awal bagi membantu mangsa banjir di Pahang yang diramalkan hujung tahun ini.



KUANTAN 30 Okt. – Pasukan 4 Briged (Mekanize) berada dalam keadaan siap sedia dari aspek keanggotaan dan aset bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini yang diramalkan hujung tahun ini.



Panglimanya, Brigadier Jeneral Datuk Ahmad Tajuddin Abdul Ghani berkata, pihaknya berkemampuan untuk menggerakkan sejumlah anggota dan aset yang mencukupi dalam setiap operasi menyelamat dan memindahkan anggota mengikut keperluan dan kawasan yang terlibat.



“Pasukan di bawah naungan saya juga telah diberikan daerah tanggungjawab masing-masing dan akan memberikan bantuan sewajarnya apabila berlaku bencana,“ katanya dalam kenyataan di sini.



Menurut Ahmad Tajuddin, kerajaan negeri turut membuat penambahbaikan daripada segi koordinasi dan penugasan antara agensi bagi memastikan setiap perancangan berjalan dengan lancar.



“Setiap agensi penyelamat telah diberikan kawasan tanggungjawab masing-masing dan briged ini telah dipertanggungjawabkan di kawasan Sungai Lembing, Panching dan Jalan Kuantan-Gambang untuk pemindahan dan menyelamatkan mangsa.



“Selain itu, briged ini juga dipertanggungjawabkan dalam penyediaan makanan di Pusat Pemindahan Wisma Belia Pahang, Dewan Sukpa, Sekolah Kebangsaan Pandan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ching di sini,“ ujarnya.



Tambahnya, bagi melancarkan operasi, pihaknya telah melaksanakan latihan bermula 28 September hingga 1 Oktober lalu melalui Eksesais Jarum Mas 1/2014 bagi menguji kemampuan pasukan dan juga aset yang dimiliki.





- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wila....or1hP5o7.dpuf




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire