mercredi 1 octobre 2014

Lagi rakyat kita terbunuh di Syria.

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Seorang rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Syria terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera Bashar Al-Assad di negara bergolak itu, semalam.



Dalam kejadian terbaharu itu, mangsa yang maut ialah Muhammad Afiq Heusen Rahizat, 25, atau digelar Abu Dubais.



Insiden itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang maut setelah menyertai pertempuran di negara bergolak ialah seramai lima orang.



Difahamkan, Muhammad Afiq yang berasal dari Kluang, Johor masuk ke Syria pada 6 April lalu untuk menyertai perjuangan ISIS.



Dia ke sana bersama adik kandungnya, Muhammad Aqif Heusen Rahizat, 22, atau nama gelarannya Abu Sufyan Malayzi, yang difahamkan masih lagi berada di Syria.



Dalam perkembangan itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengetahui tentang pemergian Muhammad Aqif ke Syria pada 6 April lalu.



"Muhammad Afiq bersama adiknya ke negara bergolak itu beberapa bulan lepas, tindakan tidak diambil kerana kekurangan bukti.



"Individu ini juga merupakan 22 rakyat Malaysia yang dikenal pasti terlibat dalam pergolakan di negara bergolak," katanya kepada Utusan Malaysia.



Baru-baru ini, Bahagian Counter Terrorism, melancarkan operasi khas dan berjaya menangkap tiga rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi tujuan menyertai kumpulan pengganas IS.



Sebelum itu, pada 14 September lalu, Mohd. Lotfi Ariffin, 46, meninggal dunia di Hospital Hatay, Turki selepas lima hari berada dalam keadaan koma akibat terkena serangan bom pesawat dalam satu pertempuran dengan pihak tentera negara itu pada 9 September.



Dalam kejadian itu juga, seorang rakyat Malaysia. Mohamad Fadlan Shahidi Mohammad Khir, 21, maut manakala lima yang lain termasuk Mohd. Lotfi mengalami kecederaan.



Dua lagi yang maut di negara bergolak ialah Zainan Harith, 52, atau Mat Soh juga dikenali Abu Turab yang mati dibedil kereta kebal Bashar al-Assad pada 20 Ogos lalu dan pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, yang menjadi pengebom berani mati Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Iraq pada Mei lalu.



Kejadian yang menimpa Mat Soh turut mencederakan dua rakannya iaitu Mohd. Rafi Udin, 48, dan Zainuri Kamarudin, 47.



http://ift.tt/1tikPCp




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire