Keadaan bas dinaiki guru dan staf sebuah sekolah dari Butterworth remuk di bahagian kiri.
< 1 / 1 >
HULU SELANGOR - Seramai 44 orang guru dan staf sebuah sekolah dari Butterworth, Pulau Pinang berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 406, Hulu Bernam dalam kejadian 4 pagi semalam.
Tiga daripada mereka mengalami luka akibat terkena serpihan kaca dan dirawat di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar, sementara yang lainnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, rombongan tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan yang tidak dapat dipastikan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkepli Bedin, pemandu bas difahamkan gagal mengelak sebelum terlanggar belakang lori.
Keadaan cuaca adalah baik, namun gelap berikutan tiada lampu jalan. Rempuhan menyebabkan bas rosak teruk di bahagian depan sebelah kiri.
Punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan di Kilometer 58, berhampiran tanah perkuburan Cina di Kuala Kubu Baru jam 4 pagi semalam.
Zulkepli berkata, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pemandu bas telah diambil keterangan selepas menyerah diri di balai sejurus kejadian.
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sementara keretanya remuk 50 peratus di bahagian depan.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire