Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Fernandes ketika majlis memperkenalkan AirAsia Asean Pass, baru-baru ini.
AIRASIA Berhad (AirAsia) menjangkakan 2015 menjadi tahun yang baik bagi penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Berhad (AirAsia X) selepas mencatatkan kerugian sebanyak RM210.85 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia X tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terhadap kerugian dialami itu.
Apa yang berlaku kami akan cuba tangani dan selesaikan, katanya.
Bahkan katanya, tahun ini bukanlah merupakan tahun yang baik bagi industri penerbangan di negara ini.
Menurutnya, syarikat itu akan mengamalkan lima strategi dalam usaha menambah baik pertumbuhan AirAsia X.
Kami akan meningkatkan perolehan syarikat dengan mengemas kini strategi perolehan, meningkatkan pendapatan tambahan, melambatkan penerimaan kapal terbang menerusi pengurusan kapasiti, penggabungan jabatan dan memanfaatkan harga rendah minyak, katanya.
Fernandes berkata, antara faktor kepada kerugian AirAsia X adalah pengurangan permintaan dari Australia dan China berikutan tragedi pesawat MAS MH370 serta wabak Ebola.
Sementara itu, AirAsia memperkenalkan pas perjalanan udara, AirAsia Asean Pass.
Fernandes berkata, pas itu disasarkan kepada pelanggan dari luar Asean yang mahu melihat atau mengunjungi negara-negara Asean.
Pas ini mempunyai dua pilihan iaitu pakej pertama bernilai RM499 bagi 10 perjalanan bagi sah laku selama sebulan. Manakala,pilihan kedua RM888 bagi 20 perjalanan dengan tempoh sah laku 48 hari. Pas ini terbuka kepada semua pelanggan AirAsia di semua 137 destinasi sekitar negara Asean, katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire