lundi 8 décembre 2014

Kerajaan Melaka akan berunding dengan Lembaga Adat Naning.

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan mengadakan rundingan dengan Lembaga Adat Naning dalam waktu terdekat bagi mencari persefahaman dan meleraikan kontroversi yang timbul berkaitan lembaga itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman.



Beliau berkata, rundingan itu penting bagi menjernihkan kekeliruan masyarakat terhadap bidang kuasa lembaga itu.



"Kerajaan negeri akan mencari jalan bagaimana semua pihak dalam kelompok lembaga adat (Naning) dapat menyelesaikan masalah mereka dengan baik dan mengikut urusan yang sepatutnya, bukan melangkaui dan melanggar peraturan dan perlembagaan negeri," katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini berhubung penglibatan penghulu dan sidang yang menerima anugerah daripada Lembaga Adat Naning pada majlis hari ini.



Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, pada mesyuarat EXCO kerajaan negeri minggu lepas memberi amaran bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam dan pemimpin masyarakat yang menerima darjah dan pingat daripada Lembaga Adat Naning, yang tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.



Menurut Idris, pihaknya telah mengarahkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama oleh Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Naim Abu Bakar bagi menyemak senarai penjawat awam, sidang dan penghulu yang mengambil anugerah berkenaan.



Mengulas lanjut, Hasan berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti kurang daripada 10 penjawat awam termasuk empat orang sidang yang menerima darjah dan pingat daripada Lembaga Adat Naning.



"Nama mereka akan diumumkan sekiranya perlu oleh SUK dan telah meminta beliau memanggil mereka semua untuk diberi surat tunjuk sebab mengapa mereka terlibat," katanya.



Beliau berkata, kerajaan negeri akan meminta penjawat awam memulangkan semula anugerah yang diterima daripada Lembaga Adat Naning dan sekiranya enggan, akan menarik balik sebarang anugerah yang pernah dikurniakan oleh kerajaan negeri kepada mereka.



http://ift.tt/1wnPNjR




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire